Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 13, 2016

DAFTAR RM1 DAPAT AKSES INTERNET


Daftar RM1 dapat akses internet


Mantin - Majlis Perbandaran Nilai (MPN) menyasarkan akan membuka tiga lagi Pusat Siber Rakyat termasuk di Lenggeng yang kini dalam proses pembinaan.

Yang Dipertua MPN, Datuk Abd Halim Abd Latif berkata, dua lagi lokasi akan ditentukan oleh ahli majlis kawasan mengikut keperluan serta kriteria yang ditetapkan.

"Pusat Siber Rakyat di Lenggeng kini dalam proses pembinaan dan dijangka tahun hadapan akan siap sepenuhnya, manakala dua lagi lokasi belum ditentukan.

"Kita masih lagi menunggu daripada ahli majlis dan melihat keperluan di sesuatu kawasan sebelum ia dibina.

"Keperluan tertumpu kepada penduduk setempat terutamanya pelajar di kawasan luar bandar yang jauh dengan pusat internet, mahupun mereka yang tidak mempunyai komputer di rumah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa program perasmian Pusat Siber Rakyat Mantin, semalam.

Hadir merasmikan program Pusat Siber Rakyat Mantin itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Chong Sin Woon.

Abdul Halim berkata, melalui Pusat Siber Rakyat ini, pengguna hanya perlu berdaftar RM1 seumur hidup bagi membolehkan mereka menggunakan kemudahan internet tanpa had bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang.

"Sebanyak 21 unit komputer disediakan, berserta sebuah mesin pencetak yang akan diuruskan pegawai MPN selaku penyelia serta pemantau makmal komputer ini," katanya.

Pusat Siber Rakyat Mantin merupakan pusat siber rakyat ketiga, dengan kos keseluruhan RM88,630 selepas dibina oleh MPN di Rantau dan Labu pada tahun lalu.

Sementara itu Sin Woon berkata, pihaknya mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutamanya PBT untuk mengendalikan pembangunan sosial masyarakat, dalam usaha membantu kerajaan.

Katanya, peranan PBT kini semakin meluas, bukan sahaja berfungsi sebagai organisasi utama yang menguruskan infrastruktur, membaiki lampu, membersihkan longkang, menyediakan kemudahan awam dan lain-lain.

“Kita melihat PBT kini sebagai sebuah organisasi besar yang boleh membantu menguruskan pembangunan sosial masyarakat, bukan sekadar menjaga dan menyediakan infrastruktur sahaja.

“Misalnya projek menyediakan Pusat Siber Rakyat hampir di setiap daerah ini, merupakan antara usaha yang sangat terpuji dan baik untuk perkembangan sosial masyarakat terutamanya dalam kalangan pelajar.

“Kalau boleh, bukan PBT sahaja tetapi organisasi dan agensi lain juga boleh sama melaksanakan usaha sebegini demi membantu meningkatkan perkembangan pembangunan sosial setempat,” katanya.


0 comments:

share2