Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 20, 2016

TERPAKSA BERTEDUH DI RUMAH LAMA


Terpaksa berteduh di rumah lama


Pontian - Sebuah keluarga di Kampung Penerok di sini berharap bantuan rumah akan diberikan bagi membolehkan mereka tinggal dengan lebih selesa selepas rumah mereka hangus terbakar dalam kejadian kebakaran petang Jumaat lalu.

Mangsa, Abd Rashid Hassan, 60 berkata dia bersama isteri, anak dan cucunya kini berteduh di rumah lama yang uzur.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana kebakaran yang berlaku kira-kira 3.45 petang itu tidak mencederakan ahli keluarganya.

Katanya, ketika kejadian dia berada di dalam rumah bersama isteri, anak lelaki, menantu dan tiga cucunya.

“Anak saya, Nasaruddin Abd Rashid yang berusia 35 tahun nampak asap keluar dari ruang depan rumah. Dia minta kami semua segera keluar untuk selamatkan diri.

“Dalam keadaan panik dan kelam kabut, kami cuba padamkan api tapi tidak berjaya sebab semakin marak. Saya minta tolong jiran untuk hubungi bomba,” katanya.

Abd Rashid yang hanya bekerja kampung berkata, memandangkan ahli keluarganya agak ramai, dia perlu mencari tempat tinggal sementara untuk mereka berteduh.

“Kami tiada pilihan lain kerana rumah utama musnah keseluruhannya, begitu juga dengan perabot serta peralatan elektrik yang tidak sempat diselamatkan dalam kejadian itu,” katanya.

Dia juga berharap ada pihak sudi membantu keluarganya memandangkan rumah lama yang dijadikan tempat tinggal sementara kini dalam keadaan uzur dengan dinding serta zink yang mengalami kerosakan.

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba, Iqbal Redwan dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru berkata, dua jentera bomba bersama 1 tangki air dan sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian setelah menerima panggilan pada 4.08 petang.

Katanya, sebaik sahaja anggota bomba sampai ke lokasi, api sedang marak membakar rumah kayu separuh kekal dan berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah di bahagian belakang dalam masa 10 minit.

“Api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira 5.22 petang. Punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.


0 comments:

share2