Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 22, 2016

SELAMAT PULANG WIRA #KAMILUARBIASA


Selamat pulang wira #KamiLuarBiasa


Kepulangan yang dinanti. Itulah ungkapan paling tepat bagi menggambarkan penantian kepada wira-wira paralimpik negara dari Rio De Janeiro, Brazil oleh seluruh warga Malaysia.

Menjadi trending di media sosial dengan hashtag #SelamatPulangWira serta #KamiLuarBiasa, ramai yang meluahkan rasa bangga mereka kepada para atlet yang telah berjuang mengharumkan nama negara.

Bagi pemilik akaun Twitter @MuhdHaznan, kesungguhan yang dipamerkan atlet ini memberikan inspirasi kepada dirinya.

“Perjalanan anda yang penuh inspirasi telah membawa kegemilangan kepada negara serta membuka mata rakyat Malaysia,” tulisnya.

Turut mengajak orang ramai untuk meraikan para atlet paralimpik ini adalah Perdana Menteri sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui akaun twitternya @NajibRazak.

“Petang ini siapa ada kelapangan? Ayuh ke Kompleks Bunga Raya, kita sambut wira-wirawati paralimpik pulang dari Rio,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin juga turut berkongsi gambar di laman Twitter, @khairyKJ milik beliau untuk berkongsi persiapan menyambut para atlet ini.

“Pentas telah bersedia menanti wira-wira emas dalam majlis kepulangan mereka,” katanya.

Pemilik akaun @malayan_fact turut berkongsi rasa bangga dengan para atlet ini dan mengalu-alukan kepulangan mereka ke tanah air.

“#SelamatPulangWira Malaysia.. Anda hebat, sangat hebat. Memang luar biasa!” katanya.

Atlet paralimpik negara selamat tiba di tanah air kira-kira jam 3.00 petang tadi.

Mereka kemudiannya akan terlibat dengan perarakan dan berhenti di beberapa lokasi antaranya Menara Berkembar KLCC dan Pavilion Jalan Bukit Bintang.

Malaysia meraih pingat emas pertama di Sukan Paralimpik Rio melalui pelari pecut Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100 meter T36 (cerebral palsy), diikuti kejayaan Muhammad Ziyad Zolkefli yang mencipta rekod dunia acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran) dengan jarak balingan 16.84m.

Aksi cemerlang kontinjen negara diteruskan Abdul Latif Romly yang memenangi emas selepas memecahkan rekod dunia acara lompat jauh T20 dengan jarak lompatan 7.60m.


0 comments:

share2