Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 16, 2016

SAMBUTAN HARI MALAYSIA BUKTI KOMITMEN RAKYAT


Malaysia


Kuala Lumpur - Beberapa negeri meraikan Hari Malaysia dengan penuh kesepakatan dan harmoni hari ini walaupun sambutannya di peringkat kebangsaan akan diadakan di Sarawak malam ini.

Pagi tadi, beberapa negeri termasuk Sabah, Kelantan dan Pulau Pinang menganjurkan sambutan di peringkat negeri dengan pelbagai acara sebagai membuktikan komitmen, kesetiaan dan solidariti rakyat kepada negara.

Di SABAH, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata, cuti umum Hari Malaysia bagi seluruh negara sejak 2010 merupakan satu pengiktirafan signifikan kepada rakyat di Sabah dan Sarawak dalam pembentukan sebuah negara yang bersatu, merdeka dan berdaulat.

"Berdasarkan sejarah, tiada siapa pun boleh menafikan bahawa menerusi kemerdekaan dan penubuhan Malaysia, ia telah membawa banyak manfaat besar kepada rakyat dan negeri ini.

"Dalam bidang politik dan pentadbiran, kita dapat membentuk sebuah kerajaan yang kuat dengan didokong oleh mandat rakyat, seterusnya mewujudkan kestabilan politik dan sistem pentadbiran dan perkhidmatan yang cekap kepada rakyat," katanya pada sambutan ulang tahun Hari Malaysia Ke-53 di sini. 

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin.

Musa juga berkata Sabah berjaya menjana kemakmuran ekonomi memberangsangkan dan kini menjadi peneraju dan penyumbang terbesar kepada industri perladangan kelapa sawit negara, industri minyak dan gas serta industri hiliran dan pemprosesan, sektor pelancongan, perkhidmatan dan perindustrian.

"Semua ini dapat direalisasikan dengan adanya pelbagai insentif kerajaan yang menjadi pemangkin kepada suasana ekonomi yang kondusif, yang berjaya menarik penglibatan sektor swasta dan pelabur asing sebagai satu daripada enjin utama ekonomi negeri," katanya.

Musa berkata, kesungguhan dan iltizam politik tinggi kerajaan untuk menunaikan mandat dan amanah rakyat telah membolehkan kerajaan merubah landskap fizikal negeri menerusi usaha membangun dan menaik taraf kemudahan asas dan infrastruktur seperti bekalan air dan elektrik, perumahan, hospital dan jalan raya.

Sempena Hari Malaysia, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat dan negeri dengan cara dan pendekatan

tersendiri.

"Kita percaya suara rakyat di Sabah bukan sahaja akan didengar dan diberikan perhatian sewajarnya, bahkan diberikan pengiktirafan yang lebih signifikan oleh pucuk pimpinan negara khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita yakin dengan adanya hubungan kukuh dan erat antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri, rakyat dan negeri akan menikmati lebih banyak pembangunan dan kemajuan pada masa akan datang," katanya.

Lebih 3,000 hadir untuk sambutan Hari Malaysia itu, yang dirasmikan Yang Dipertua Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kota Kinabalu di sini.

Perbarisan pada sambutan itu disertai 17 kontinjen, manakala kawalan kehormat terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Ketujuh Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Kukusan, Tawau diketuai oleh Mejar Mohd Azizi Osman.

Di KELANTAN, sambutan itu yang diadakan di Stadium Sultan Muhammmad ke-IV pada 8.30 pagi, disertai 500 hadirin termasuk 1,914 peserta yang mewakili 58 kontinjen daripada agensi keselamatan, kerajaan negeri dan sekolah.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dan diserikan dengan perbarisan 59 Jalur Gemilang, 59 bendera negeri dan 59 bendera warna-warni melambangkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Di PULAU PINANG, kira-kira 1,000 hadirin memeriahkan sambutan Hari Malaysia yang turut disertai Yang Dipertua Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff di SP Arena, Seberang Jaya.

Acara itu, yang bermula 9 pagi, dimulakan dengan menaikkan Jalur Gemilang oleh Laskar Kelas (LK) II BAI Muhammad Azril Ezani Mohamad Zu dari Tentera Laut Diraja Malaysia KD Sri Pinang diiringi nyanyian lagu Negaraku.

Terdahulu Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia merupakan tiga tunggak utama dalam pembentukan Malaysia.

"Ketiga-tiga entiti adalah rakan kongsi yang sama rata. Kami di Pulau Pinang amat menghargai sumbangan dan pengorbanan saudara dan saudari kita daripada Sabah dan Sarawak,"katanya.

Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan dijadual berlangsung di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu, Sarawak kira-kira 8.30 malam ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menghadiri acara kemuncak itu yang akan dirasmikan Yang Dipertua Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud. 

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman bersama isteri masing-masing turut dijangka menghadiri sambutan itu.

Ini merupakan kali kedua Bintulu dipilih sebagai lokasi sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan selepas menjadi tuan rumah buat kali pertama pada 2012.

Selain di Sarawak, beberapa negeri lain termasuk Perak, Johor dan Kedah turut dijadual mengadakan pelbagai acara sambutan Hari Malaysia yang dianjurkan pelbagai pihak malam ini.


0 comments:

share2