Kuala Pilah – Seorang peneroka dijatuhi hukuman penjara setahun selepas mengaku bersalah atas tuduhan memberi maklumat palsu peribadinya ketika memohon kad pengenalan 21 tahun lalu, di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, di sini, semalam.
Tertuduh dikenali sebagai Zahari, 52, memakai baju T biru gelap kelihatan tenang ketika membuat pengakuan itu selepas faham dengan pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Fara Shuhada Ramli.
Mengikut pertuduhan, Zahari yang merupakan warag Indonesia telah memberi maklumat palsu semasa membuat permohonan kad pengenalan atas nama Zahari Ahmad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) daerah Tampin pada 6 November 1995.
Oleh itu, pertuduhan dilakukan mengikut Peraturan 25 (1)(b) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan sama hukuman tidak melebihi tiga tahun atau denda minimum RM3,000 dan maksimum RM20,000.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa (JPN) Mohd Fazdhly Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mohd Fazdhly berkata, kesalahan dilakukan oleh tertuduh amat serius kerana mengguna pakai identiti orang lain dan memiliki hak seperti mana rakyat Malaysia selama melebihi 20 tahun, sedangkan dirinya bukan warganegara Malaysia.
Kemudian, mahkamah mengarahkan hukuman penjara setahun bermula dari tarikh jatuh hukum.
Bagi fakta kes, pada 3 September lalu, jam 1.15 tengah hari, seramai enam anggota JPN Putrajaya dan Melaka serta dua anggota polis dari Balai Polis Bahau telah melakukan tangkapan ke atas tertuduh di rumah di Felda Bukit Rokan, Gemencheh.
Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh ditahan kerana disyaki memberi maklumat palsu semasa membuat permohonan kad pengenalan atas nama Zahari Ahmad di JPN Tampin pada 6 November 1995.
Bagaimanapun, dia melarikan diri semasa siasatan dilakukan di JPN ketika itu.
Hasil semakan dengan bahagian rekod kad pengenalan di JPN mendapati cap jari dan gambar pada rekod kad pengenalan tersebut tidak merujuk kepada tertuduh.
Siasatan selanjutnya mendapati tertuduh mengaku berasal dari Indonesia dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah semasa ditahan.
0 comments:
Post a Comment