Bentong - Usaha Malaysia dalam menjaga keselamatan dan keamanan termasuk di luar negara menerima pengiktirafan apabila dijemput menghadiri Mesyuarat Menteri Pertahanan Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di London bermula hari ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mewakili negara ke mesyuarat itu, berkata mesyuarat ini bakal dihadiri Menteri-Menteri Pertahanan dari 77 buah negara yang terlibat dengan misi pengaman PBB dan lima negara ASEAN yang turut dijangka hadir iaitu Filipina, Indonesia, Kemboja, Thailand dan Vietnam.
Menurutnya, Malaysia dijemput kerana kejayaannya menjayakan misi pengaman di negara bergolak termasuk di Lebanon pada masa kini yang mendapat penghargaan antarabangsa.
"Ini penting untuk kita buktikan kepada dunia walaupun pemimpin kita dikritik dan dicemuh tetapi perkara pokok yang menjadi tanggungjawab di peringkat negeri, nasional dan antarabangsa tetap diteruskan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bentong di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Bentong, Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga Pengerusi Umno Pahang dan Menteri Besar Pahang.
Hishammuddin berkata, mesyuarat itu adalah lanjutan daripada Sidang Kemuncak Pasukan Pengaman PBB di New York, Amerika Syarikat yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 15 September tahun lalu.
Menurutnya, pada waktu itu, Perdana Menteri mengumumkan sumbangan Malaysia iaitu 100 pegawak dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan bersama United Nation Police serta seramai 280 orang lagi digerakkan dalam dua pasukan.
"Satu batalion infantri sebagai kumpulan tempur untuk Rapid Deployment Unit dan satu skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja dan pihaknya sudah bersedia untuk menggerakan inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri untuk pemeriksaan dan penilaian oleh Sekretariat Unit Operasi Pasukan Pengaman PBB (UNDPKO).
"Malaysia mempunyai imej baik di UNDPKO iaitu kesinambungan daripada usaha Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menubuhkan Pusat Pengaman Malaysia (MPC) di Port Dickson, Negeri Sembilan, ia mengadakan lebih 100 kursus membabitkan 3,000 anggota ATM serta 52 buah negara lain," katanya.
Sementara itu, Hishammuddin turut berkata, di samping mesyuarat itu beliau akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatanya dari Indonesia dan Filipina untuk memperincikan penyelarasan pemantauan di Laut Sulu dan Selat Melaka bagi berdepan ancaman pengganas termasuk Abu Sayyaf.
Tambahnya, ini termasuk dalam aspek persempadanan dan aset supaya tidak bertindih antara satu sama lain dan perkara ini menjadi komitmen tiga negara yang sudah mengerakkan usaha bagi menjayakannya.
0 comments:
Post a Comment