Selepas lebih lapan bulan mengalami kesukaran berdiri dan berjalan akibat angin ahmar, seorang warga emas menerima sumbangan kerusi roda bagi memudahkan pergerakannya.
Walaupun, Harun Mohamed, 74, tidak mampu berkata-kata dengan baik, namun raut wajahnya menunjukkan kegembiraan selepas peralatan itu diserahkan kepadanya.
Isterinya, Maimunah Mat Adam, 66, berkata, dia bersyukur dengan bantuan tersebut dan secara tidak langsung memberi sinar baharu dalam kehidupannya suaminya.
“Alhamdulillah, kerusi roda ini memudahkan suami makcik bergerak. Sebelum ini, makcik terpaksa papah dia ke bilik air dan pelbagai urusan lain sebab tak mampu beli kerusi roda.
“Walaupun kudrat makcik tak seberapa tapi demi kasih pada suami makcik sanggup berkorban apa sahaja.. tapi kini semua kepayahan makcik dapat diringankan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.
Ibu tujuh anak itu berkata, suaminya diserang angin ahmar awal tahun lalu, ketika ingin mengerjakan solat Maghrib.
Menurutnya, dia terkejut apabila mendengar bunyi dentuman kuat dan jeritan suami serta melihat Harun jatuh tersungkur.
“Makcik peluk dia (suami) untuk tenangkan dia kemudian cuba urut kakinya. Tapi dia beritahu kedua-dua kakinya sudah tak rasa sebarang sentuhan. Lepas tu makcik telefon anak untuk bawa suami ke hospital.
“Bila sampai hospital, doktor bagi tahu suami diserang angin ahmar dan separuh badannya tidak berfungsi,” katanya.
Menurutnya, kehidupannya sekeluarga kini hanya bergantung pada pencen suami sebanyak RM800 sebulan.
“Makcik banyak habiskan duit beli lampin buang untuk pakcik. Sehari lebih kurang tiga keping terpaksa digunakan. Jadi makcik terpaksa berjimat kerana tiada sumber kewangan lain,” katanya.
Maimunah berkata, dia tidak memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tiada pengetahuan mengenai perkara itu.
0 comments:
Post a Comment