Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 1, 2016

[KUANTAN] TIDAK SEMPAT DENDANG 'PERWIRAKU'


Tidak sempat dendang ‘Perwiraku’


Sambutan Ambang Merdeka di Dewan Kampung Cherok Paloh, di sini, malam kelmarin gempar apabila seorang wanita tiba-tiba rebah sebelum meninggal dunia.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa, Khamisah Mohd, 39, yang datang seorang diri, sedang mendaftar untuk menyanyikan lagu ‘Perwiraku’.

Bapanya, Mohd Isa, 63, berkata, anak perempuannya itu mempunyai semangat patriotik yang tinggi.

“Setiap kali bulan merdeka, dialah paling bersemangat menyambutnya, tak pernah dia ketinggalan kira detik 31 Ogos, tetapi semalam, dia tak sempat melakukannya dan meninggalkan kami semua,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurutnya, anak sulung dari tujuh beradik itu, aktif dalam kerja-kerja kebajikan.

Katanya, selepas Khamisah melahirkan anak ketiga, Nur Dhia Nasuha Abdul Rahim yang kini berusia lima bulan, kesihatannya tidak menentu apabila doktor mengesahkan wanita itu mengalami masalah jantung.

“Dia tahu dia sakit, tetapi dia tidak pernah menjadikan itu alasan untuk dia tunjukkan semangat patriotik yang ada dalam diri dia.

“Anak saya juga dah bersedia menyanyikan lagu ‘Perwiraku’ semalam, tetapi tak sempat mendendangkannya kerana sudah rebah dan disahkan meninggal dunia lebih kurang jam 10 malam semalam,” katanya.

Mohd berkata, dua lagi anak Khamisah iaitu Zarith Soffea Mohd Gazli, 11, dan Mohamad Syawal Mohd Gazli, 9, masih sukar menerima kenyataan bahawa ibunya sudah meninggal dunia.

“Semua ini berlaku begitu cepat, rasanya baru sahaja bergurau senda dan berbual dengannya arwah Isnin lalu, hari ini (Rabu) dia dah tiada.

“Bukan anak-anak sahaja sukar menerima ketentuan ini, tetapi kami juga. Bagaimanapun, hidup mati sudah ditentukan ALLAH, anak-anak arwah akan saya jaga sebaik mungkin,” katanya.

Jenazah Khamisah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Goh, di sini pada kira-kira jam 10 pagi semalam.


0 comments:

share2