Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, September 24, 2016

ISU RUMAH GENERASI KEDUA SELESAI 2017




Mohd Isa Abdul Samad


Proses penyerahan rumah generasi kedua Felda yang telah siap dijangka selesai pertengahan tahun depan.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, 2,400 unit daripada 8,470 unit keseluruhan melibatkan fasa pertama projek itu akan diserahkan hujung tahun ini.

“Bakinya akan diserahkan secara berperingkat antara April dan pertengahan tahun hadapan. Keseluruhannya 20,000 unit rumah dibina dengan keluasan 1,000 kaki persegi pada harga RM90,000.

“Masalah yang timbul sekarang generasi kedua yang berhasrat untuk membeli rumah tersebut gagal mendapatkan pembiayaan pihak bank kerana tidak mempunyai slip gaji.

“Ini yang kita sedang usahakan termasuk mengadakan perbincangan dengan pihak bank dan institusi kewangan bagi menyelesaikan isu ini,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda 2016 di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, semalam.

Mohd Isa berkata, sejak tahun 2000 sehingga kini, Felda memperuntukkan lebih RM4.46 bilion kepada peneroka sama ada dalam bentuk geran atau pinjaman.

“Daripada jumlah itu, lebih RM370 juta adalah pembiayaan pendidikan dan lebih RM48 juta untuk pembiayaan keusahawanan.

Katanya, Felda selama ini memberi kebajikan dari segi sara hidup, pendapatan hasil, membiayai infrastruktur, program pendidikan, latihan kemahiran, pembesaran rumah, program keusahawanan, pembelian komputer dan pembelian saham.

“Ini cukup membuktikan bahawa Felda adalah institusi sosial yang sangat berkebajikan dan prihatin.

“Selama 60 tahun Felda membuktikan kejayaannya menguruskan sosioekonomi peneroka termasuk generasi baharu Felda. Insya-ALLAH terus pada landasannya sampai bila-bila dan kita akan pastikan ia sama seperti mana diasaskan oleh perdana menteri terdahulu,” katanya.


0 comments:

share2