Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, September 3, 2016

DAKWAAN BAS BANDAR GO KL TIDAK EFISIEN TIDAK BENAR


Dakwaan Bas Bandar Go KL tidak efisien tidak benar


Kuala Lumpur - Dakwaan yang mengatakan perkhidmatan Bas Bandar Go KL tidak efisien tidak benar, sebaliknya kemudahan itu dilihat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga kota.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikshan berkata, pihaknya menerima beberapa aduan berkaitan perkhidmatan percuma itu yang disifatkan sebagai satu bentuk pembaziran oleh kerajaan.

Menurutnya, ekoran itu beliau sendiri turun padang, melihat sendiri situasi operasi bas berkenaan bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas.

"Aduan diterima mengatakan perkhidmatan ini tidak selesa, serta tidak dimanfaatkan sepenuhnya, seakan-akan bas tiada penumpang. Namun apa yang saya lihat adalah sebaliknya.

"Bas yang dilengkapi pendingin hawa amat selesa, melalui laluan-laluan utama di ibu negara, dimanfaatkan oleh komuniti setempat dari pelbagai golongan termasuk pelajar, pelancong asing, serta warga kota yang bekerja di kawasan pusat bandar,"katanya ditemui selepas melakukan lawatan dan tinjauan perkhidmatan Bas Bandar Go KL, di sini, semalam.

Terdahulu beliau meluangkan masa kira-kira 45 minit menaikkan Bas Go KL (Laluan ungu) dari hentian Pasar Seni, melalui beberapa hentian utama pusat bandar termasuk Menara Kuala Lumpur, Bukit Bintang, dan Pavilion.

Perkhidmatan Bas Bandar Go KL mula beroperasi pada 2012 dengan memperkenalkan dua laluan iaitu hijau dan ungu. Perkhidmatan itu kemudiannya dikembangkan pada 2014, dengan penambahan dua lagi laluan iaitu biru dan merah, merangkumi laluan-laluan utama ibu negara termasuk berhampiran stesen transit aliran ringan LRT.

Ia merupakan inisiatif kerajaan melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma di kawasan Central Business District (CBD) Kuala Lumpur, yang menjadi sebahagian daripada Pelan Transformasi Kerajaan dalam usaha mempertingkatkan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian.

Adnan dalam pada itu, berkata, perkhidmatan itu amat relevan untuk diteruskan sebagai galakan kepada komuniti tempatan menggunakan pengangkutan awam.

"Kerajaan berharap warga kota yang lain, dapat memanfaatkan kemudahan bas percuma dalam bandar ini, terutamanya pada waktu puncak," katanya.


0 comments:

share2