Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 28, 2016

AWAS, AIR PASANG BESAR


Awas, air pasang besar


JOHOR BAHRU - Fenomena air pasang besar dijangka melanda kawasan perairan negeri ini menjelang November depan, justeru orang ramai yang berada di kawasan rendah berhampiran pantai dinasihatkan mengambil langkah berwaspada.

Pengarah Jabatan Meteorologi Johor, Amirzudi Hashim berkata, fenomena berkenaan dijangka bermula menjelang November depan dan kemuncak air pasang besar diramal berlaku pada 14 November.

“Fenomena air pasang besar seperti yang berlaku di perairan utara baru-baru ini dijangka akan berlaku lagi. Namun kita masih belum dapat meramalkan situasi sebenar yang akan berlaku di Johor kerana keadaan masih terlalu awal.

“Dalam kejadian air pasang besar baru-baru ini, keadaan menjadi buruk apabila wujud tiga elemen pada masa sama. Ia melibatkan simulasi air pasang dengan tiupan angin kencang dan cuaca buruk iaitu ribut petir di perairan utara,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sehubungan itu, Amirzudi menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di kawasan penempatan berhampiran perairan negeri ini agar sentiasa berjaga-jaga bagi menghadapi fenomena itu.

“Fenomena air pasang besar memang dijangka berlaku. Ia disebabkan kedudukan bulan berada hampir dengan bumi dan kemungkinan kawasan rendah berhampiran pantai akan dinaiki air.

“Sekiranya berlaku tiupan angin kencang dan cuaca buruk ketika fenomena ini, kemungkinan boleh menyebabkan situasi lebih buruk.

“Jadi, orang ramai dinasihatkan mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan situasi tidak diingini berlaku sepanjang musim ini,” katanya.

Kelmarin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor mengeluarkan amaran meminta orang ramai bersiap sedia, susulan berlaku peningkatan luar biasa paras air laut di daerah Batu Pahat.

Pengarah APM Johor, Mat Zin Bujang berkata, peningkatan paras air laut mula melepasi paras tebing dan tembok pemecah ombak di sekitar Pantai Punggor, Batu Pahat.

Sebelum itu, pada 19 September lalu, negeri-negeri pantai barat Semenanjung termasuk Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang dilanda banjir akibat fenomena air pasang dengan angin kencang.

Lebih 500 penduduk negeri berkenaan terpaksa dipindahkan manakala Pantai Kelanang, Banting mencatat ombak setinggi 5.6 meter.


0 comments:

share2