Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 19, 2016

SANGGUP SEWA KREN PETIK BUAH BINJAI


Sanggup sewa kren petik binjai



LABIS - Idea seorang penduduk di Pekan Air Panas, di sini, yang memetik buah binjai menggunakan kren menarik perhatian penduduk lain kerana kaedah berkenaan belum pernah digunakan untuk memetik buah-buahan sebelum ini.

Mohamad Hussin, 60, berkata, dia terfikir untuk menyewa kren bagi memetik buah tersebut kerana pokoknya mencecah kira-kira 40 meter selain mendapati kaedah tersebut lebih mudah, cepat dan selamat.

"Ini kali pertama buah binjai ini dipetik dan dijual kerana sebelum ini tak ada permintaan. Malah, tak ada siapa yang berani memanjatnya sehingga ia dibiarkan gugur begitu sahaja walaupun berbuah lebat.

"Oleh kerana kali ini ada pembeli yang tawarkan harga berpatutan selain berbuah lebat, saya ambil keputusan untuk upah tiga penduduk untuk petik binjai guna kren yang disewa khas," katanya.

Katanya, jika menggunakan kaedah biasa iaitu memanjat, kerja-kerja memetik buah tersebut yang dianggarkan mencecah dua tan itu mungkin memakan masa hampir seminggu, sebaliknya hanya lima jam jika menggunakan kren.

Katanya, penduduk setempat yang datang melihat kerja-kerja memetik buah binjai juga berpeluang merasai keenakannya kerana pokok tersebut merupakan satu-satunya pokok binjai yang terdapat di sekitar kawasan Labis ketika ini.

Sementara itu, penduduk, Ramli Tahir, 63, berkata, dia sanggup mengorbankan masa rehatnya selepas menoreh getah untuk melihat dengan lebih dekat kerja-kerja memetik buah tersebut, selain ingin merasai buah binjai itu.

Katanya, idea Mohamad boleh digunakan untuk memetik buah-buahan lain seperti mata kucing sekiranya harga pasaran ditawarkan tinggi kerana kos sewa kren yang agak tinggi ketika ini.

Sementara itu, Ibrahim Othman, 53, yang mengambil upah memetik buah tersebut mengakui kerja-kerja memetik buah menggunakan kren lebih mudah dan cepat serta menjadi pengalaman baharu kepadanya.

"Saya berasa lebih selamat dan yakin ketika berada di dalam bakul kren walaupun berada beratus kaki dari tanah berbanding duduk di dahan pokok balak ketika mengambil madu lebah tualang yang selalu saya lakukan sebelum ini.

"Jika menggunakan kaedah biasa, saya perlu pastikan dahan yang dipijak perlu kuat serta jauh daripada buah berbanding menggunakan kren yang lebih mudah kerana kita lebih selamat dan lebih dekat dengan buah yang hendak dipetik,” katanya yang berpengalaman lebih 20 tahun mengambil upah memanjat.




1 comments:

  • Anonymous says:
    August 20, 2016 at 3:58 PM

    Melayu jika usaha apa pun boleh, Syabas!

share2