Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 19, 2016

[KUANTAN] JUMPA NAJIS TIKUS ATAS RAK DI PASAR RAYA


Jumpa najis tikus atas rak



Sebuah pasar raya di daerah ini diarahkan tutup sementara berikutan keadaan dalam premis yang kotor dan penemuan najis tikus di atas rak menyimpan barangan hasil Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Kesihatan Awam di sini, kelmarin.

Dalam operasi itu, turut dirampas makanan tin dan botol yang tamat tarikh luput serta rosak.

Notis arahan tutup selama 14 hari itu dikeluarkan supaya pihak pasar raya terbabit melakukan kerja-kerja pembersihan sebelum dibenarkan beroperasi semula selepas mendapat kebenaran daripada Unit Inspektorat Jabatan Kesihatan Pahang.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Kesihatan Awam itu turut membabitkan beberapa agensi penguat kuasa daerah ini.

Menurutnya, seramai 160 pegawai terlibat dalam operasi itu dengan tumpuan utama kepada pemeriksaan kebersihan diri pekerja dan persekitaran premis terutamanya premis makanan seperti hotel dan restoran tumpuan pelancong.

Katanya, sepanjang operasi dua hari itu, 54 premis diperiksa dan 10 restoran dan kedai makan diarah tutup manakala 20 premis lagi dikenakan kompaun mengikut Akta Makanan dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan.

“Operasi kali ini turut membabitkan Penguatkuasaan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) dengan tumpuan kepada perokok yang merokok di kawasan hospital, Terminal Sentral Kuantan (TSK) dan beberapa pusat membeli belah di daerah ini.

“Seramai 75 individu termasuk seorang remaja bawah umur yang dikesan merokok di kawasan larangan dikenakan tindakan kompaun membabitkan nilai keseluruhan RM18,600,” katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah perokok yang diambil tindakan itu, seorang ditahan kerana merokok dalam pusat hiburan, lima di kawasan hospital, 14 di pusat beli-belah dan 54 di TSK.

Zainal Ariffin berkata, pada operasi berkenaan juga, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 13 tapak pembinaan dan sembilan daripadanya dikenakan kompaun dengan jumlah RM4,500 kerana dikesan ada jentik-jentik.

“Operasi julung kali diadakan ini turut membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Tujuan utamanya bagi membuktikan keseriusan usaha Jabatan Kesihatan Pahang menguatkuasakan peraturan dan undang-undang yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, ia juga sebagai kesinambungan kempen 'Koi Nak Bersih Koi Nak Sihat' yang dianjurkan jabatan selain memupuk kesedaran di kalangan masyarakat terhadap kebersihan.




0 comments:

share2