Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 28, 2016

PEMBACA SINAR HARIAN BANTU TAJA YURAN ANAK


Tiada wang daftar anak masuk IPTA


Ipoh – Setelah kisahnya disiarkan Sinar Harian hari ini, dalam tempoh kurang 12 jam seorang ibu berjaya menunaikan hasrat menghantar anaknya mendaftar ke Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, esok.

Rozita Manan, 43, lahirkan rasa bersyukur dan terima kasih apabila rayuannya mendapatkan bantuan wang bagi yuran pendaftaran anak kedua tercapai melalui sumbangan orang ramai.

Rozita ketika dihubungi tidak dapat menyembunyikan kegembiraanya apabila sebak mengungkapkan kata terima kasih atas keprihatinan rakyat Malaysia termasuk pengurusan UUM sendiri yang menghubunginya, pagi tadi.

Sebaik kisahnya dipaparkan di portal Sinar Online hari ini, dia mendapat panggilan bertalu-talu bukan sahaja dari Perak, tetapi Melaka, Johor, Kedah dan Kuala Lumpur bermula jam 10 pagi yang mahu menghulurkan bantuan kewangan.

“Pengurusan UUM ada hubungi saya dan beri jaminan untuk mengecualikan bayaran yuran pendaftaran buat sementara waktu. Mereka maklumkan jika tiada siapa yang tampil bantu, tidak mengapa jika tak bayar yuran...hanya perlu datang pendaftaran, itu yang lebih penting.

“Saya begitu terharu, pada saat saya buntu mencari jalan, Tuhan datangkan seseorang untuk membantu dan hasilnya impian anak saya untuk masuk universiti dipermudahkan.

“Terima kasih rakyat Malaysia yang prihatin, hanya Tuhan yang dapat membalasnya,” katanya.

Anak kedua daripada empat beradik, Muhammad Alief Aiman Muhammad, 19, bakal mendaftar di UUM dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kewangan, esok berdepan masalah kewangan apabila keluarganya tidak mampu menyediakan yuran pendaftaran diperlukan sebanyak RM2,000.

Dia menamatkan pengajian dari Kolej Matrikulasi Perlis, April lalu dengan keputusan cemerlang PNGK 3.92.

Rozita dari Kampung Permatang Tinggi, Pengkalan Bharu, Pantai Remis memaklumkan, sumbangan yang diterima daripada orang ramai kini sudah melebihi daripada apa yang diperlukan.

Keadaan itu katanya, membolehkan dia dan Muhammad Alief membuat persiapan rapi, termasuk membeli semua barang keperluan yang sebelum ini tidak dapat disediakan kerana faktor wang.

“Saya akan gunakan wang ini sebaiknya untuk pengajian Muhammad Alief selama empat tahun dia di sana, ini amanah orang ramai dan pastinya ia dimanfaatkan untuk pendidikannya,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Alief sama sekali tidak menyangka, masih banyak pihak mahu membantu mereka sekeluarga.

Menurutnya, apa yang berlaku ini akan dijadikan motivasi untuk belajar dengan bersungguh.

“Ini sesuatu yang mengejutkan buat saya, apa-apa pun terima kasih semua,” katanya.

Mereka sekeluarga akan ke UUM esok seawal jam 7 pagi dengan bantuan kenderaan seorang kenalan.


0 comments:

share2