Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 28, 2016

YAKIN RAKYAT PAHANG TETAP SOKONG NAJIB


adnan yaakob


Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yakin rakyat Pahang akan tetap menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan terhadap perdana menteri.

Beliau berkata penduduk Pahang bijak menilai dan menghargai sebarang usaha kerajaan dan perdana menteri untuk membantu dan membangunkan rakyat seperti mewujudkan Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan sebagainya.

"Saya yakin rakyat Pahang akan terus menyokong dan mempercayai Umno serta Barisan Nasional (BN) kerana kerajaan pimpinan parti itu sahajalah yang mampu memberi masa depan lebih berjaya kepada mereka," katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian persidangan perwakilan Umno Bahagian Cameron Highlands di sini, hari ini yang disempurnakan Najib.

Adnan yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Pahang yakin Umno Bahagian Cameron Highlands dibawah pimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mampu merampas semula kerusi Dun Tanah Rata daripada pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Sementara itu, Umno Bahagian Kuala Pilah hari ini turut melafazkan ikrar taat setia kepada Najib dan pucuk pimpinan parti.

Ketuanya Datuk Ismail Lasim berkata hanya kesetiaan dan kesepaduan oleh seluruh anggota parti dapat mempertahankan institusi politik dan presiden parti.

"Pemimpin silih berganti dan semua pemimpin negara mempunyai cabaran dan ujiannya yang tersendiri begitu juga presiden kita (Najib).

"Pun begitu, yakinlah bahawa Umno Kuala Pilah tidak akan terjejas dengan apa juga isu yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu," katanya dalam ucapan alu-aluan pada persidangan perwakilan Umno Bahagian Kuala Pilah di sini, hari ini yang dirasmikan Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin dalam ucapannya menggesa ahli Umno terus merapatkan barisan bagi memastikan Umno terus kuat dan menjadi parti pilihan rakyat.

Sementara itu di SEGAMAT, Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata anggota UMNO perlu membuang sentimen dan nostalgia kepada bekas pemimpin yang keluar parti kerana mereka tidak lagi bersama-sama parti.

Beliau berkata tidak dinafikan setiap bekas pemimpin Umno mempunyai jasa tetapi apabila mereka bersekongkol dengan pembangkang dan cuba meruntuhkan kerajaan Umno dan BN, tidak perlu lagi disokong.

"Tidak ada bezanya antara Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas presiden UMNO), Tan Sri Muhyiddin Yassin (bekas timbalan presiden Umno) dengan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (presiden PKR), Lim Kit Siang (penasihat DAP), Lim Guan Eng (setiausaha agung DAP), Mohamad Sabu (presiden Parti Amanah)Negara) ... mereka kini berada dalam kumpulan yang sama menentang Umno," katanya.

Ismail Sabri yang merupakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Labis, di sini hari ini.

Beliau berkata pembangkang sedang berusaha memecahbelahkan UMNO dan mengalih perhatian anggota parti supaya bergaduh sesama sendiri dan sedar atau tidak, pergaduhan dalaman Umno telah berlangsung selama dua tahun.

"Isu yang dicipta oleh mereka bagi memburukkan perdana menteri telah menyebabkan ada dalam kalangan kita (anggota dan pemimpin Umno) melayan teruk pucuk pimpinan negara... kita menghukum lebih awal daripada hukuman dijatuhkan oleh mahkamah.

"Malah dalam Islam, seseorang itu tidak boleh dihukum sebagai ahli syurga atau ahli neraka ketika berada di dunia," katanya.

Di GERIK, Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata setiap anggota parti perlu memainkan peranan dan tangggungjawab dalam memastikan kelangsungan pucuk kepimpinan parti untuk meneruskan perjuangan walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Beliau berkata melalui kekuatan itu akan membolehkan pemimpin berjuang demi memastikan Umno terus relevan dalam memperjuangkan orang Melayu.

"Kita perlu meneruskan perjuangan dan menjadikan (sebarang) perpecahan (dalam parti) sebagai iktibar serta panduan," katanya kepada pemberita selepas

merasmikan persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Gerik, di sini hari ini.

Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata anggota Umno perlu bekerja dalam satu pasukan bagi memastikan parti kekal kukuh.

"Kalau tumbang Umno, tidak akan ada parti lain yang boleh memperjuangkan nasib orang Melayu seperti Umno,” katanya.

Di PEKAN, Naib Ketua Wanita Umno Datuk Azizah Mohd Dun menggesa semua anggota parti menerapkan nilai perjuangan yang tinggi dalam diri masing-masing dan bukannya semata-mata menginginkan jawatan.

Beliau berkata sikap memperjuangkan kepentingan parti mesti dijadikan keutamaan berbanding agenda peribadi.

"Masuk dalam parti tanpa perjuangan kerana semata-mata menginginkan jawatan sahaja kita akan goyah... jadi ingat kita mesti berbalik kepada asas perjuangan

sebenar parti," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Wanita Umno Bahagian Pekan di sini, hari ini.

Azizah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata semua anggota juga perlu memastikan tiada sesiapa mampu menggugat kekuatan dan perpaduan parti berkenaan.

"Bukan sahaja presiden (parti) (Najib) diasak dan difitnah... pembangkang akan cari jalan untuk pecah-belahkan kita kerana bila kita berpecah-belah mereka akan mendapat kejayaan," katanya.


0 comments:

share2