Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, August 29, 2016

‘MASIH TERBAYANG ADIK DISERANG'


Diserang 20 individu


Masjid Tanah - Abang kepada mangsa yang meninggal dunia akibat dipukul lebih 20 individu di Kampung Telok Gong, di sini, pada 21 Ogos lalu, mengakui masih lagi trauma biarpun hanya mengalami kecederaan di kepala tangan dan kaki.

Muhammad Sharul Azwan Rosainif, 20, berkata, dia juga masih terbayang melihat adiknya diserang puluhan manusia tanpa sedikit pun sifat belas kasihan.

Menurutnya, ketika kejadian, dia menunggang motosikal Honda EX5 bersama mangsa, Muhammad Shahrul Asri, 17, untuk mencari telefon bimbit milik adiknya yang disangka tercicir di kawasan Teluk Gong sebelum dihampiri sekumpulan penunggang motosikal lain, dipercayai penduduk kampung terbabit.

Bagaimanapun katanya, dia tidak menyedari adiknya telah diserang dari belakang menyebabkan mangsa terjatuh dari motosikal sebelum berhenti pada jarak lebih kurang 50 meter.

"Ketika itu baru saya sedar adik tak ada di belakang saya dan nampak dia diserang dan dipukul beramai-ramai.

"Saya terus hubungi ayah dan beritahu mengenai adik sebelum saya pergi ke tempat itu untuk selamatkan arwah,” katanya yang turut dipukul beberapa kali termasuk menggunakan helmet.

Tambahnya, seorang abang saudaranya yang datang membantu mereka juga dipukul kumpulan berkenaan.

"Sehingga kini saya tertanya-tanya apa salah kami sehingga diperlakukan sebegitu sedangkan sebelum kejadian kami tak ada bergaduh dengan sesiapa.

"Saya tak boleh lupakan juga, ketika mandikan jenazahnya, saya lihat belakang adik berlubang-lubang dipercayai dipukul dengan kayu yang berpaku dan harap kematian nyamendapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya sayu.

Sementara itu, bapa mangsa, Rosainif Abdul, 44, berkata, walaupun sukar untuk mereka sekeluarga menerima pemergian anak bongsunya, namun dia reda dan mahukan mereka terlibat mendapat hukuman setimpal.

Menurutnya, dia turut terkilan dengan sikap birokrasi beberapa pihak sebelum anaknya itu disahkan meninggal dunia, pagi Khamis lalu.

Malah menurutnya, dia juga kecewa dengan sikap sekolah yang didakwa tidak menghantar seorang wakil sejak anaknya koma di Hospital Melaka.

"Pada hari pertama peperiksaan percubaan SPM, saya dah maklum pada guru dan hantar surat ke sekolah namun tiada seorang pun yang datang melawat anak saya ketika dia masih koma.

"Janganlah disebabkan kami orang biasa dilayan seperti itu sedangkan anak saya juga pelajar sekolah dan calon SPM dan saya harap semua itu tidak berlaku kepada anak orang lain,” katanya.


0 comments:

share2