Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, August 29, 2016

SENGAJA REKA CERITA ELAK DITAHAN


Sengaja reka cerita elak ditahan


Melaka Tengah - Seorang penganggur mereka-reka pelbagai cerita untuk mengelak ditahan polis selepas ditangkap kerana menunggang motosikal disyaki dicuri dalam sekatan jalan raya di Lebuh Ayer Keroh di sini, semalam.

Lelaki berusia 17 tahun itu memberi alasan motosikal ditunggangi tanpa nombor casis itu milik rakannya, selain berada di kawasan berhadapan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu untuk membeli makanan di restoran makanan segera berhampiran.

Menurut sumber, pelbagai alasan diberikan remaja bertopi keledar ketika ditahan mengundang syak wasangka anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah yang menangkapnya kira-kira jam 1.45 pagi.

“Selepas dibawa ke IPD dalam tempoh dua jam penahanannya, remaja yang tidak lagi bersekolah itu akhirnya mengaku baru menggunakan motosikal berkenaan sejak membelinya tiga bulan lalu daripada seorang rakan.

“Dia kemudian ditahan keraan gagal memberi penerangan terhadap barangan dimiliki iaitu motosikal yang mempunyai kesan nombor casis yang dipadamkan,” katanya di sini, semalam.

Sumber berkata, remaja dari Paya Dalam, di sini itu turut ditahan kerana menunggang motosikal jenis Yamaha C70 dengan nombor pendaftaran palsu.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, remaja berkenaan ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 29(1) Kanun Pencegahan Jenayah dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.


0 comments:

share2