Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 21, 2016

[LIPIS] MDL RAMPAS PERALATAN JUDI

MDL rampas peralatan judi

Majlis Daerah Lipis (MDL) merampas 96 unit komputer riba, 21 server, modem, monitor, papan kekunci dan lima unit video permainan ikan bernilai kira-kira RM100,000 dalam operasi perjudian siber dan hiburan tanpa lesen.

Setiausaha MDL, Mohd Pauzi Abu Hussaini berkata, semua barang berkenaan dirampas dari 10 premis di sekitar Benta, Padang Tengku, Tempoyang, Bandar Lama dan Bandar Baru Lipis dari Mac hingga pertengahan Ogos tahun ini.

"MDL turut merampas peralatan video permainan ikan yang berunsurkan perjudian dan hiburan tanpa lesen pada minggu lalu.

"Semua barang rampasan berkenaan kini ditempatkan di bilik sitaan penguat kuasa MDL sementara menunggu denda antara RM2,000 hingga RM4,000 dibayar pemiliknya," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Menurutnya, hasil aduan orang ramai di samping intipan kerap penguat kuasa membawa kepada siri operasi berkenaan.

Katanya, operasi dilakukan berperingkat mulai jam 3 petang hingga 11 malam membabitkan 16 penguat kuasa MDL dan polis.

“Pengusaha licik berselindung di sebalik operasi pusat internet apabila menjalankan kegiatan yang menyalahi peraturan Seksyen 21 (1) Enakmen Hiburan di bawah peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Dengan kerjasama polis Lipis, kita akan meneruskan operasi besar-besaran tanpa mengira masa untuk membasmi pusat perjudian dan hiburan tanpa lesen di bandar ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius ancaman perjudian haram menggunakan modus operandi pusat internet tanpa lesen yang tersorok di tingkat atas dan belakang premis di sekitar kawasan itu.

Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab pengusaha mengaut keuntungan tanpa lesen hiburan juga memberi impak pembaziran wang dan masa dalam kalangan pengunjung pusat berkenaan, terutama remaja.

"Kegiatan perjudian ini juga boleh mengundang gejala keruntuhan akhlak dan berkemungkinan mereka terjebak dengan jenayah tertentu," katanya.

Katanya, modus operandi membanteras mesin slot, judi haram dan pusat internet tanpa lesen merupakan hasrat MDL untuk mewujudkan kesejahteraan di bandar Kuala Lipis serta selamat disinggahi pelancong.

“Usaha kita membasmi kegiatan berkenaan berterusan, malah denda akan dikenakan terhadap pengusaha premis selain kes dirujuk ke mahkamah tanpa memilih bulu berasaskan akta PBT,” katanya.

0 comments:

share2