Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 21, 2016

[KUANTAN] HAYATI KEMERDEKAAN, KIBAR JALUR GEMILANG

Adnan Yaakob

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mahu rakyat di negeri ini menyerlahkan semangat patriotisme, menghayati erti kemerdekaan negara dan mengibarkan Jalur Gemilang bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-59 31 Ogos ini.

Beliau kesal dengan sikap sebahagian besar rakyat di negeri ini yang masih kurang menghayati erti kemerdekaan negara termasuk enggan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, pejabat atau premis perniagaan mereka.

Katanya walaupun kini merupakan sambutan Bulan Kebangsaan, semangat patriotisme yang ditunjukkan kurang menyerlah seolah-olah masyarakat sudah tidak berminat untuk menyambut kemerdekaan negara yang diperjuangkan pemimpin terdahulu.

"Mungkin sebab kita lahir dalam keadaan yang sudah ada semua perkara jadi kita lupa pasal merdeka. Tidak merasa hidup susah, sudah cukup makan minum, ada tempat tinggal dan mampu pakai kereta, jadi kita tidak anggap penting tentang sambutan merdeka.

"Di negara lain, mereka sangat meraikan hari pembebasan mereka daripada penjajah. Saya harap sekurang-kurangnya dalam setahun sekali kita kibarkan bendera Malaysia pada bulan kemerdekaan," katanya.

Adnan berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan 1,000 peserta #kayuhansehatisejiwa2016 yang diadakan bersempena Kempen Kibarkan Jalur Gemilang peringkat negeri di sini, hari ini yang dimeriahkan dengan kehadiran lebih 5,000 orang.

Beliau juga memaklumkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan negeri pada Khamis lalu, supaya Jalur Gemilang dikibarkan di semua premis jabatan kerajaan dan bangunan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri.

"Saya juga telah minta ahli mesyuarat kerajaan negeri dan wakil rakyat untuk menerangkan dan memberi penekanan kepada program erti kemerdekaan di kawasan mereka supaya kita dapat hidup bersatu padu dan muhibah," katanya.

Adnan juga mengingatkan bahawa erti kemerdekaan yang lebih penting adalah 'merdeka minda' dan berfikiran matang dalam tindakan serta tidak mengamalkan budaya mengaibkan orang lain dan memfitnah.

Dalam perkembangan lain, Adnan mengucapkan tahniah kepada atlet Malaysia yang berjaya mengibarkan Jalur Gemilang di podium Sukan Olimpik Rio de Jeneiro, dan menyifatkan kejayaan itu sangat besar ertinya untuk sebuah negara yang kecil seperti Malaysia.

"Kejayaan atlet Malaysia membuktikan semua perkara boleh dicapai jika dilakukan secara bersungguh-sungguh, latihan yang mantap dan sikap yang positif. Saya bangga bendera Malaysia turut berkibar di kejohanan sukan terbesar dunia," katanya.

Adnan turut mengucapkan tahniah kepada pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei yang berjaya mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan musuh tradisinya Lin Dan daripada China pada saingan separuh akhir malam tadi.

Malaysia setakat ini berjaya meraih pingat perak menerusi beregu badminton lelaki negara Tan Wee Kiong/Goh Wei Shem, beregu campuran Chan Peng Soon/Goh Liu Ying dan acara terjun 10 meter platform wanita seirama menerusi gandingan Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong. Pelumba basikal negara Azizulhasni Awang pula menghadiahkan pingat gangsa kepada negara menerusi acara keirin.

0 comments:

share2