Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 3, 2016

KPDNKK TUMPAS SINDIKET 'KOYAK DAN MENANG'


KPDNKK


Seremban - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan menahan sembilan remaja termasuk empat wanita kerana disyaki terlibat dalam sindiket 'Koyak dan Menang' di sebuah pasar raya di Ampangan di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Negeri, Saiful Bahri Abdul Kadir berkata, mereka yang digelar 'ulat' ini berumur dalam lingkungan 20-an ditahan untuk siasatan lanjut.

"Mereka ditahan dalam satu operasi di pasar raya berkenaan pada pukul 3 petang semalam yang melibatkan 16 orang pegawai KPDNKK Seremban.

"Dalam operasi itu, kita turut merampas beberapa barangan perkakas elektrik di rumah seperti pembersih vakum, penapis air dan dispenser air serta periuk dan kuali yang dianggarkan bernilai RM60,000 serta beberapa buku resit pembelian dan kad baucer," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya siasatan awal mendapati sasaran 'ulat' ini memilih orang tertentu terutama dalam kalangan warga emas dan akan mendekati mangsa dengan memberi hadiah percuma untuk menarik mereka menyertai peraduan Koyak dan Menang.

"Apabila mangsa setuju, mereka akan diberi kad baucer untuk dikoyak dan mengetahui hadiah yang ditawarkan atau diskaun. Jika mereka setuju mereka diminta supaya membeli barangan tersebut yang berharga RM3,000 ke atas. Ini adalah taktik yang digunakan untuk memperdaya mangsa.

"Kejayaan operasi ini merupakan yang pertama di negeri ini. Modus operandi peraduan Koyak dan Menang bagaimanapun berbeza dengan kes penipuan 'Gores dan Menang'.

"Operasi yang dilakukan itu adalah hasil daripada risikan dan maklumat orang awam sejak sebulan lepas. Dalam operasi ini, kita juga telah membuat penyamaran bagi memberkas 'ulat-ulat' tersebut," katanya.

Saiful Bahri berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Perihal Dagangan 2011.


0 comments:

share2