Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 26, 2016

KANTIN INSTITUSI PENDIDIKAN 'DISERBU'


Kantin institusi pendidikan ‘diserbu’


Ipoh - Jabatan Kesihatan Negeri akan mengadakan pemeriksaan mengejut ke atas kantin beberapa institusi pendidikan di negeri ini yang berpotensi tinggi berlaku kes keracunan makanan.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pihaknya sedang mengenal pasti sekolah berasrama penuh, sekolah agama dan institusi pengajian untuk melakukan tinjauan dan pemeriksaan.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya meminta izin pengetua untuk membuat pemeriksaan dan selalunya hasil pemeriksaan tersebut positif sehingga ada yang mendapat markah 98 peratus.

“Selepas ini tindakan tegas akan diambil bagi membendung masalah keracunan makanan dalam kalangan pelajar.

“Jika didapati ada aspek-aspek yang tidak dipatuhi, mereka akan di kompaun mandatori serta diarah tutup premis,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kawalan dan Pencegahan Penyakit JE Perak semalam.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Juita Ghazalie.

Katanya, kerajaan negeri memandang serius peningkatan kes keracunan makanan malah terdapat prosedur standard operasi dalam usaha memastikan pengendali makanan menerima maklumat bagi menyediakan makanan bersih.

“Mereka juga perlu mengambil suntikan tifoid selain membuat pemeriksaan kendiri untuk diserahkan kepada Jabatan Kesihatan bagaimanapun hanya satu per tiga sahaja pengendali makanan berbuat demikian,” katanya.

Hang Soon berkata, tindakan tegas dari segi penguatkuasaan akan diambil kepada premis atau pengendali makanan yang tidak menepati piawaian ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, sehingga 21 Ogos 2016, terdapat lima kes penyakit JE berlaku di Perak masing-masing satu di Kerian dan empat lagi di Kuala Kangsar namun kesemua kes ini adalah kes terpencil dan tiada kaitan dengan ladang ternakan khinzir di kawasan berkenaan.

Hang Soon berharap orang ramai menitikberatkan soal kebersihan diri dan persekitaran rumah masing-masing supaya tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk culex.

Sementara itu, jumlah kes denggi di negeri ini menunjukkan penurunan sebanyak 62.3 peratus iaitu dari 6,920 kes sepanjang Januari hingga 20 Ogos 2015 kepada 2,619 kes bagi tempoh sama pada tahun ini.


0 comments:

share2