Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 26, 2016

E-HAJ: MASA MENUNGGU LEBIH PENDEK


jemaah haji


Penambahbaikan sistem 'e-Haj' yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi telah mempercepatkan proses kemasukan ketibaan jemaah haji ketika melalui proses Imigresen dan Kastam di lapangan terbang di sini pada musim haji ini.

Pengarah Operasi Jeddah Mohamad Zamry Mohd Noor berkata melalui penambahbaikan sistem elektronik itu, kini para jemaah haji tidak lagi menunggu lama bagi melalui proses kemasukan ketika di Lapangan Terbang King Abdul Aziz di sini.

"Kalau dahulu jemaah haji terpaksa menunggu sehingga lima jam untuk menyelesaikan proses pasport di Imigresen dan Kastam tetapi dengan adanya penambahbaikan itu jemaah haji hanya melaluinya bagi tempoh dua hingga tiga jam sahaja.

"Proses ini menyebabkan kaedah ketibaan jemaah haji berjalan lancar dan cepat kali ini dan mengurangkan keletihan jemaah di lapangan terbang tanpa perlu menunggu lama seperti sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamad Zamry berkata, sistem e-Haj yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi sejak beberapa tahun itu kini ditambah baik, antaranya tiada lagi proses mencetak tiket bas.

"Kalau dahulu tiket bas perlu dicetak dan ditampal pada pasport tetapi kali ini tidak lagi kerana tiket itu telah dimasukkan lebih awal dalam sistem itu.

Antara lain yang ada dalam sistem itu ketika diimbas melalui pengimbas adalah tempat hotel penginapan jemaah haji," katanya.

Beliau berkata, bagi nombor bas dan tempat penginapan, jemaah haji telah lebih awal mengetahuinya kerana ia dilekatkan bersama lencana mereka semasa di tanah air lagi.

Katanya selain sistem e-Haj, Lembaga Tabung Haji (TH) juga mempunyai sistem khas pendaftaran jemaah haji di lapangan terbang bagi mengelak jemaah daripada tersasar dan tertinggal bas.

"Alhamdulillah jemaah haji kita tidak ada masalah melalui imigresen, kastam dan tiada yang tersasar di lapangan terbang dan ini semua telah menjimatkan masa ketika ketibaan," katanya.


0 comments:

share2