Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 11, 2016

[JENGKA] PENYAMUN UGUT SEMBELIH GUNA PARANG


Penyamun ugut sembelih guna parang


Lima sekeluarga di Jengka 14, di sini bukan hanya disamun, malah diugut mahu disembelih menggunakan parang panjang oleh empat penyamun yang memecah masuk rumah mereka, awal pagi semalam.

Ketika kejadian, Samiah Ismail, 57, dan anak-anaknya, Norwati Ibrahim, 41, Siti Sufiah, 23, Nurul Shamira, 20, serta menantu, Mohd Azian Adam, 27, berada dalam rumah.

Samiah berkata, kejadian itu disedarinya selepas dia dikejutkan seorang daripada penjenayah terbabit yang memecah masuk biliknya dengan mengumpil tingkap dapur.

“Salah seorang kejutkan saya dari tidur. Apabila buka mata ada, tiga lagi lelaki berdiri sebelah katil saya. Mereka arah saya serah barang kemas dipakai dan geledah bilik.

“Kemudian mereka suruh saya keluar dan duduk di tangga. Salah seorang pegang dagu saya dari belakang dan acu parang sambil beri amaran supaya diam.

“Dia kata jangan melawan, jangan bising. Kalau bising, sembelih,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini semalam.

Menurutnya, dia yang menggigil ketakutan diarah keluar dari bilik dan duduk di tangga dengan dikawal seorang penyamun, manakala tiga lelaki lain menggeledah bilik-bilik lain.

Katanya, dia mendengar anak sulungnya, Norwati yang merupakan seorang OKU menjerit, namun ketika itu dia hanya mampu berdoa dan berzikir memohon supaya anaknya itu tidak diapa-apakan.

“Saya peluk tubuh dan berzikir Allahuakbar perlahan-lahan tapi masih boleh didengar oleh penyamun yang jaga saya. Anak sulung waktu itu jerit minta tolong...syukurlah mereka tak diapa-apakan,” katanya.

Samiah yang masih trauma berkata, penyamun geledah bilik sambil suruh dia diam dan menyerahkan barang kemas dipakainya.

Penjenayah terbabit dipercayai masuk menerusi tingkap rumahnya berdasarkan kesan umpil, sebelum keluar melalui pintu dapur.

Kejadian terlalu pantas

Siti Sufiah pula berkata, biliknya dimasuki empat perompak itu serentak, sambil menghunus parang panjang.

Katanya, dia disuruh diam sambil mukanya disuluh menggunakan lampu picit.

Menurutnya, pandangan silau menyebabkan dia tidak dapat berbuat apa-apa, sementara seorang penyamun mengikat tangan suaminya yang ketika itu sedang tidur.

“Mereka ambil telefon bimbit dan duit dalam laci serta arah saya buka semua barang kemas yang dipakai. Lengan suami lebam kesan ikatan.

“Suami tidur jam 3 pagi dan dalam keadaan nyenyak tidur itulah penyamun serbu masuk bilik kami.

“Kejadian berlaku terlalu pantas. Tapi saya boleh dengar kakak dan adik minta tolong di bilik sebelah. Penyamun suruh diam dan jangan melawan jika tak mahu diapa-apakan,” katanya.

Dalam kejadian itu, penjenayah terbabit melarikan wang tunai RM1,000, beberapa telefon bimbit, komputer riba dan barang kemas.

Mereka turut melarikan sebuah beg yang digunakan untuk meletakkan barangan disamun serta sebuah beg mengandungi kad pengenalan dan dokumen perubatan Samiah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan, Mat Rizal Mat Radzi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun secara berkumpulan dan bersenjata.

“Siasatan masih dijalankan dan kerugian awal dianggarkan antara RM15,000 ke RM20,000. Ia melibatkan wang tunai RM1,000 manakala selebihnya ialah barang kemas pusaka dan barangan lain,” katanya.


0 comments:

share2