Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 30, 2016

[TEMERLOH] PETANI DIGESA MOHON MYGAP

Petani digesa mohon myGAP



Petani dan peladang di daerah ini digesa memohon Sijil Amalan Ladang Pertanian Baik (myGAP) supaya hasil pertanian mereka lebih berdaya saing dan mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Pegawai Pertanian Daerah Temerloh, Muhamad Khalil Idris berkata, myGAP adalah penjenamaan semula Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) iaitu skim pensijilan dibangunkan Jabatan Pertanian Malaysia bagi memberi pengiktirafan kepada ladang yang mengamalkan amalan pertanian baik.

Menurutnya, mereka yang terlibat dalam sektor pertanian sama ada individu, syarikat atau tanah yang disewa dan diusahakan secara sah, layak untuk memohon sijil myGAP.

“Mereka yang ada sijil myGAP mempunyai peluang pasaran yang lebih baik dan hasil pertanian lebih berdaya saing sekali gus mampu meningkatkan ekonomi diri dan negara.

“Peserta myGAP akan memperoleh hasil tanaman berkualiti, selamat dimakan dan sudah tentu akan lebih diyakini pasaran dalam dan luar negara,” katanya, semalam.

Beliau ditemui pada program mempromosikan myGAP membabitkan beberapa pengusaha produk pertanian di tapak Pasar Tani Lurah Semantan di sini, semalam.

Muhamad Khalil berkata, pemohon perlu menjalani pemeriksaan tapak dan hasil pertanian mereka akan dihantar ke makmal untuk tujuan pemeriksaan.

Beliau berkata, mereka yang ingin memohon boleh datang terus ke pejabat pertanian daerah dan melengkapkan segala dokumen yang perlu.

“Pihak jabatan akan membantu mereka dengan mengadakan pemeriksaan tapak, menganalisis hasil bagi menguji kandungan racun makhluk perosak pada hasil tanaman mereka.

“Hasil tanaman mereka juga akan diuji kandungan logam berat, kandungan mikrob dan analisis air, mereka juga diberikan kursus dan latihan secara percuma selepas memohon sijil myGAP.

“Pihak jabatan juga akan memberikan sebanyak 1,000 unit pelekat logo myGAP secara percuma kepada penerima myGAP kali pertama,” katanya semalam.

Muhamad Khalil berkata, myGAP mengutamakan konsep keselamatan makanan, alam sekitar, pekerja dan penghasilan makanan yang dijamin bermutu.




0 comments:

share2