Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 23, 2016

PERKASA PENGURUSAN MASJID


Perkasa pengurusan masjid


Besut - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mahu peranan jawatankuasa dan pegawai masjid perlu diperkasakan termasuk melakukan pembaharuan seperti menyusun struktur kerja masjid.

Baginda mahu pegawai masjid dilantik dalam kalangan pegawai idea kerana mereka perlu kreativiti tinggi untuk menghidupkan roh Islam di masjid dan jemaahnya.

Titah baginda lagi, kejayaan sesebuah masjid bergantung kepada sejauh mana peranan dan fungsi dijalankan pengurusan masjid khususnya peranan menarik masyarakat Islam di sekeliling beribadah dan menggunakan masjid untuk kebaikan umat Islam.

“Beta berharap pegawai masjid yang dilantik lebih fokus menjalankan tugas dan meningkatkan mutu kerja yang diamanahkan,” titah baginda.

Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Masjid Al Islah, Kampung Limbongan dekat Kampung Raja, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, Exco Kerajaan Negeri, kepimpinan negeri dan daerah.

Baginda juga menyeru kepada pentadbiran kerajaan negeri supaya peka terhadap kekosongan jawatan pegawai masjid dengan mempercepatkan proses pelantikan memandangkan keperluan semasa yang mendesak.

“Beta berharap dengan percepatkan proses pelantikan pegawai masjid ini, pentadbiran dan aktiviti mengimarahkan masjid lebih tersusun dan cemerlang,” titah baginda.

Sultan Mizan turut menitahkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu memandang serius membendung fahaman bertentangan dengan syariat Islam seperti fahaman Syiah yang menular dalam masyarakat di negara ini.

Baginda kemudiannya menunaikan Solat Jumaat dengan lebih 1,000 jemaah sebelum mencemar duli bersalaman dengan jemaah masjid dan menghadiri majlis santapan bersama rakyat jelata di perkarangan masjid berkenaan.

Masjid Al Islah dibina dengan kos RM7.4 juta siap pada Jun 2012 dan solat Jumaat pertama bermula 6 Jun 2012 mampu menampung 2,000 jemaah pada satu-satu masa.


0 comments:

share2