Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 31, 2016

PELOPOR MINYAK WANGI


Pelopor minyak wangi


Sikapnya yang peramah pasti membuatkan sesiapa sahaja menyenangi anak jati Kuala Lumpur ini.

Mula berkecimpung dalam bidang perniagaan sejak 13 tahun lalu, Norasishah Idris, 33, atau lebih dikenali Shasha, amat meminati wangian.

Bertitik dari situ, Shasha menubuhkan syarikat Aroma Collection, yang menjual pelbagai jenis wangian jenama popular antarabangsa.

Beroperasi di Hotel Armada, Petaling Jaya, Shasha berkata, syarikatnya turut menjadi pembekal kepada lebih 600 ejen di seluruh negara.

"Perniagaan ini dimulakan suami, Abdul Mueiz Mohamed Zin, 34, dan kami sama-sama kembangkan Aroma Collection.

"Kami hanya bermula dengan sebuah kedai di Hotel Armada dan atas kepercayaan ramai, Aroma Collection menjadi sebutan mulut ke mulut.

"Daripada pelanggan biasa, kami berjaya meraih ramai ejen termasuk di Singapura dan juga Brunei," kata ibu kepada seorang cahaya mata ini.

Lebih menakjubkan, perniagaannya berjaya meskipun tanpa kaedah atas talian yang menjadi trend kebanyakan usahawan masa ini.

Jelas Shasha, dia sangat bertuah kerana Aroma Collection terlebih dahulu menguasai pasaran sebelum trend usahawan 'minyak wangi' muncul bak cendawan selepas hujan sejak kebelakangan ini.

"Sudah lama saya menjalankan perniagaan ini. Pada 2003 perniagaan atas talian masih janggal di negara ini.

"Alhamdulillah, Aroma Collection sudah mempunyai ramai ejen dan ianya semakin bertambah dari masa ke semasa," katanya yang menjual dan membekalkan lebih 100 jenama minyak antarabangsa seperti DKNY, Guess, Hugo Boss, Giorgio Armani Issey Miyake dan Mont Blanc.

Tidak mahu berada di takuk sama, Shasha turut menghasilkan wangian jenama sendiri sempena namanya. Mengambil pati wangian diimport khas dari luar negara, Shasha Perfume, dijual RM65 dengan kandungan 35ml menerusi pembungkusan bermotif bunga-bungaan.

"Wangian ini dikeluarkan pada 2013. Ketika itu juga masih belum ramai usahawan tempatan yang tampil dengan jenama wangian sendiri.



"Saya peruntukan modal hampir RM100,000 untuk perniagaan wangian ini dan Alhamdulillah ia mendapat sambutan baik memandangkan saya sudah mempunyai ejen yang ramai di seluruh negara," katanya. 

Pernah rugi setengah juta

Lumrah perniagaan pastinya tidak lari dari cabaran dan dugaan sebelum berjaya. Menurut Shasha, dia pernah kerugian hampir setengah juta setelah perniagaan perabotnya melalui jalan buntu.

"Alhamdulillah, ketika itu Aroma Collection amat konsisten. Jadi saya semangat ingin mencuba perniagaan perabot secara besar-besaran di Kelantan. Pada mulanya, perniagaan ini menguntungkan. Namun atas sebab-sebab tertentu ia terpaksa ditutup.

"Dugaan ketika itu terlalu berat sehingga saya memutuskan melepaskan sahaja perniagaan itu. Setelah kembali dari umrah, saya fokus kepada Aroma Collection yang kekal konsisten itu," katanya.

Menjadikan pengalaman sebagai kekuatan berjaya, Shasha nekad bekerja keras memastikan Aroma Collection berkembang serta memberi kepuasan kepada pelanggan.

"Saya tidak mahu letak sasaran keuntungan banyak. Saya percaya dengan rezeki dan bahagian masing-masing dijanjikan ALLAH SWT.

"Jangan sesekali ada perasaan dengki dengan orang lain dan cubalah berkongsi rezeki yang ada," kata pemegang Ijazah bidang psikologi ini.

Optimis mengembangkan perniagaan, Shasha kini mengatur beberapa strategi bagi memastikan Shasha Perfume terus mendapat tempat di hati pelanggannya," katanya.

Jual telekung

Menurut Shasha, menerusi Aroma Collection, dia berjaya mencapai sasaran jualan serta meraih keuntungan lumayan. Bagaimanapun, keuntungan itu bukanlah kepuasan utama dalam hidupnya.

Akui Shasha, dia kini sedang mencari keberkatan ALLAH SWT menerusi perniagaan serta membekalkan telekung kanak-kanak.

"Sebagai usahawan, saya terfikir menghasilkan produk membawa lebih keberkatan kepada dua-dua pihak. Maka dari situ tercetusnya niat menjual telekung kanak-kanak.

"Untuk memasarkannya bukanlah satu perkara sukar kerana saya sudah mempunyai ejen sendiri," katanya.

Menggunakan material berkualiti, telekung kanak-kanak itu dijual RM49 dan mempunyai 11 variasi warna.

Dalam perkembangan lain, Shasha kini sedang mengembangkan jenama pakaian serta tudung Shira Tajuddin bersama adik perempuannya.


0 comments:

share2