Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 19, 2016

[MUADZAM SHAH] WARUNG 70 SEN JADI FENOMENA


Warung 70 sen  jadi fenomena


Caj 70 sen yang dikenakan bagi beberapa jenis menu dan setiap penghantaran kepada pelanggan di Felda Keratong 8, 9 dan 10 akhirnya menjadi fenomena penduduk di kawasan berkenaan.

Siapa sangka dengan caj serendah itu, usaha dua beradik yang membuka sebuah warung di hadapan rumah ibu dan ayah mereka akhirnya membuahkan hasil apabila ia tidak henti-henti dikunjungi orang ramai.

Pengusaha, Mohd Faridz Mohd Jamal, 31, berkata, idea membuka warung itu dicadangkan kakaknya, Rajlina, 37, berdasarkan pengalamannya berniaga burger sejak 2006.

Menurutnya, konsep warung itu bukan bermotifkan keuntungan dengan meletakkan harga yang tinggi sebaliknya nilai untungnya kecil tetapi ramai pelanggan.

“Ada yang tanya kenapa pilih caj 70 sen. Sebenarnya angka 70 ini nombor rumah ayah yang sekarang lokasi warung ini.

"Selain caj penghantaran, kita tawarkan menu lain seperti nasi lemak biasa dibungkus dengan daun pisang, set roti bakar dan secawan air teh O, kopi O, sirap, Sunquick serta bandung suam dengan harga 70 sen,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mula berniaga pada tahun lalu, sambutan diberikan penduduk, terutama belia, warga emas dan pelajar begitu menggalakkan.

Malah menu utama warung mereka seperti martabak burger boleh mencecah purata jualan 300 biji sehari.

Mohd Faridz berkata, menu martabak burger istimewa yang menggunakan daging hancur turut menjadi tarikan.

Menurutnya, idea untuk menghasilkan menu itu timbul selepas seorang rakan membuat permintaan sedemikian.

"Saya buat ikut permintaannya. Dia nak daging dihancurkan dulu sebelum dijadikan burger. Dia puas hati dengan olahan itu.

"Dari situ timbul idea nak buat martabak burger ni dan ia patut dicuba sesiapa saja yang berkunjung ke sini," katanya.

Warung 70 sen beroperasi tujuh hari seminggu kecuali ditutup atas urusan tertentu.

Proses penghantaran pula bermula jam 5 petang hingga 12 malam.

Dalam pada itu, warung itu juga menjadi lokasi berkumpul sebuah organisasi terdiri daripada 70 belia yang diwujudkan bagi kerja khidmat masyarakat di kawasan gugusan Felda Perantau Damai.




0 comments:

share2