MEMULAKAN tugas sebagai Penghulu Mukim Chenor (Jengka) sejak tahun 2007, memberikan pengalaman tidak ternilai buat Khairul Amin Osman, 41.
Tahun pertama menjawat jawatan itu, dia diuji dengan tragedi banjir besar melanda seluruh negeri pantai Timur termasuk Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Itu pengalaman yang paling saya ingat. Kerja tak sampai setahun, saya sudah diuji dengan tugas mencabar apabila negeri ini dilanda banjir besar...mukim ini terputus hubungan dengan banyak kawasan.
“Kalau diikutkan bandar Jengka ni kawasan selamat...tapi dengan faktor cuaca ketika itu, banjir berlaku dengan cepat melibatkan keseluruhan kawasan Matau dan Jengka 10, 11, 14 dan 16.
“Saya masih ingat, apabila air naik melimpahi jalan besar, kita terpaksa buat tindakan sendiri dengan membeli stok makanan untuk lebih 100 keluarga yang mendapatkan perlindungan di Kemas Bandar Jengka, di sini. Nasib baik kita dapat kerjasama daripada pemimpin setempat dan sukarelawan,” katanya.
Menurutnya, kejadian terputus hubungan selama beberapa hari itu menjadi pengajarandalam mengatur persiapan berdepan bencana alam yang tidak dijangka.
Beliau berkata, sejak itu, aspek pengurusan bencana di bawah bidang kuasanya ditingkatkan sebagai persediaan menghadapi bencana pada masa depan.
“Antaranya projek pembersihan dan pendalaman Sungai Chenerai. Saya juga melakukan banyak perjumpaan dan mesyuarat semasa dengan jabatan-jabatan kerajaan untuk selaras bidang tugas masing-masing,” katanya.
Anak jati Kampung Chenor itu berkata, penduduk di mukim itu berjumlah sekitar 60,000 termasuk penduduk Felda, kampung, bandar dan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Perlu juga ambil tahu segala hal kecil
Berkongsi pengalamannya menjadi 'orang tengah' selama hampir sedekad, Khairul berkata, bukan senang memikul tanggungjawab menyelaras perkara yang melibatkan orang ramai dan jabatan-jabatan kerajaan di peringkat daerah.
Penghulu perlu bertanggungjawab mengenai hal melibatkan bencana, bantuan, kebajikan dan pembangunan mukim selain mengenal pasti isu penduduk termasuk bertindak sebagai penyelaras urusan raja dan istana.
“Sebagai penghulu, hal-hal kecil juga perlu diambil tahu seperti kes-kes pergaduhan dan pelbagai lagi namun semuanya terkawal.
“Pentadbiran dan pembangunan infrastruktur di Bandar Jengka berkembang dengan pesat. Alhamdulillah, mungkin faktornya ia berada di tengah-tengah kawasan Felda. Dari segi ekonomi penduduk Felda dan kawasan sekitar meningkat dari semasa ke semasa.
“Pembangunan bandar Jengka cukup pesat, sekarang banyak bangunan kedai baru dibangunkan selain kemudahan lain seperti stesen bas sentral dan stadium bola sepak,” katanya.
Paling utama, menurut Khairul adalah masalah bekalan air yang dahulunya sering menjadi isu, kini telah diselesaikan di peringkat akhir.
“Beberapa tahun dulu, masalah air sering jadi isu utama menjelang perayaan namun sejak pemasangan paip baharu selesai, masalah tersebut tiada lagi.
“Dalam masa sebulan dua loji air di sini akan dinaik taraf. Masalah putus bekalan air dijangka berkurangan dan jika berlaku pun ia dapat diselesaikan dengan cepat,” katanya.
0 comments:
Post a Comment