Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 27, 2016

[KUANTAN] DAYA INGATAN TERJEJAS SELEPAS KEMALAGAN



Daya ingatan terjejas selepas kemalangan


Kehidupan seorang remaja, Muhammad Faris Abdullah, 15, kini berubah sepenuhnya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2 Jun lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, Muhammad Faris mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, kaki, paha dan mulut selepas tercampak dari motosikal ditunggang rakan yang bertembung dengan sebuah kereta.

Ibunya, Siti Wahyu Akma Abdullah, 37, berkata, anak kedua daripada tiga adik-beradik itu disahkan mengalami kecederaan otak.

Menurutnya, hentakan kuat pada bahagian kepala menyebabkan tekanan otak Muhammad Faris menjadi tinggi sehingga dia koma selama lapan hari dan berada di wad selama sebulan setengah.

“Saya tak sanggup tengok keadaannya waktu di hospital lepas kejadian, saya cuma tengok keesokan harinya.

“Akibat kecederaan pada otak, daya ingatannya terjejas. Sekarang dia dah macam budak-budak balik," katanya kepada Sinar Harian selepas menerima kunjungan Badan Kebajikan dan Kemanusiaan Pahang (Bakkiss), diketuai Yang Dipertuanya, Wan Azlan Wan Salleh di rumahnya di Kampung Cherating, di sini, semalam. 

Ibu tunggal itu berkata, dia terpaksa menjaga Muhammad Faris yang lebih dikenali sebagai Angah sepanjang masa kerana memerlukan perhatian sepenuhnya.

Katanya, Angah hanya bergantung kepada susu khas yang diminum melalui tiub sebanyak enam kali sehari setiap empat jam sekali.

“Sejak Angah sakit, saya memang tak dapat kerja dan hanya bergantung kepada sumbangan orang yang prihatin.

“Walaupun ujian ini berat untuk saya tanggung, tapi inilah saja pengorbanan yang boleh saya buat sebagai ibu,” katanya.

Siti Wahyu berkata, disebabkan jarak rumahnya dengan hospital agak jauh, dia terpaksa meminta kebenaran doktor untuk membuat pemeriksaan di klinik terdekat.

Katanya, untuk rawatan susulan pada otak dia tiada pilihan dan perlu ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), namun untuk membersihkan luka pada kaki anaknya itu, dia hanya perlu ke Klinik Kesihatan Geliga, Kemaman kerana lebih dekat.

“Memang kos nak beli susu dan lampin pakai buang agak tinggi. Saya rayu kalau ada pihak yang boleh beri bantuan.

“Saya tak kisah makan nasi dengan budu hari-hari asalkan susu dan keperluan lain untuk Angah tak putus,” katanya.

Selain Angah, Siti Wahyu turut menjaga anak sulung, Muhammad Faizul, 16 dan Muhammad Fahmi Arrian, 11.

Katanya, dia sedih melihat keadaan Angah yang terlantar sedangkan ketika sihat dia merupakan seorang remaja aktif dalam sukan luncur air dan ‘skate board’ di kampung.

Sementara itu, Wan Azlan berkata, dia kagum dengan semangat Siti Wahyu yang kuat menghadapi dugaan tersebut dan berharap ada pihak dapat mempertimbangkan bantuan sewajarnya kepada keluarga ini.

Katanya, selain sumber kewangan, keluarga itu juga memerlukan bantuan rumah kerana kediaman sedia ada tidak selesa untuk diduduki.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan, sumbangan boleh salurkan ke akaun Bank Islam 13026020345824 (Siti Wahyu Akma).


0 comments:

share2