Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 27, 2016

[TEMERLOH] PPK BINA HOTEL RM10 JUTA


PPK Temerloh bina hotel RM10 juta


Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Temerloh mengorak langkah setapak lagi apabila memeterai perjanjian persefahaman dengan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) untuk membangunkan sebuah hotel tiga bintang di bandar ini.

Pengerusi Jemaah Pengarah PPK Temerloh Abu Hanipah Majid berkata, PPK Temerloh menyediakan tanah tapak projek bernilai lebih RM1 juta manakala Nafas melabur dianggarkan RM10 juta untuk pembinaan hotel itu pada tahun hadapan.

Menurutnya, hotel bertaraf tiga bintang itu akan dibina di kawasan pejabat PPK Temerloh yang ada sekarang.

“Kita dalam peringkat menyediakan segala dokumen untuk tujuan ini dan baru sahaja memeterai perjanjian persefahaman dengan Nafas untuk pembinaan hotel ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Tahunan PPK Temerloh kali ke-35, 2016 yang dirasmikan oleh Exco Pelancongan dan Kebudayaan yang juga Ketua Umno Temerloh, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, di sini kelmarin.

Hadir sama, Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Ibrahim Jahaya dan Pengurus Besar Nafas, Datuk Abd Rahman Ismail.

Dalam perkembangan berkaitan, Abu Hanipah berkata, PPK Temerloh mencatat keuntungan RM417,588 tahun lalu dengan jualan input pertanian antara yang menjadi penyumbang terbesar keuntungan itu.

Beliau berkata, dengan keuntungan itu PPK Temerloh akan mengagihkan zakat perniagaan berjumlah RM59,817 kepada lapan golongan asnaf.

Menurutnya, sebanyak RM23,000 daripada jumlah zakat itu akan diagihkan PPK sendiri kepada ahlinya manakala baki selebihnya diserahkan kepada Pusat Kutipan Zakat untuk diagihkan kepada mereka yang layak.

“Selain itu, PPK Temerloh juga menceburi perniagaan runcit menerusi Agrobazaar Rakyat 1Malaysia yang mula beroperasi 23 Julai lalu.

“Dalam tempoh lima tahun akan datang juga PPK Temerloh akan membangunkan lagi kawasan tanaman sawit berkeluasan 12 hektar di Belengu,” katanya.

Abu Hanipah menggalakkan lebih ramai peladang menyertai PPK Temerloh serta penambahan saham dalam kalangan kira-kira 3,000 ahlinya.


0 comments:

share2