Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 24, 2016

JANGAN BIMBANG KEHADIRAN POLIS BERSENJATA


pdrm


Johor Bahru - Polis Johor hari ini menasihati orang ramai termasuk pelancong supaya tidak bimbang dengan kehadiran anggotanya yang lengkap bersenjata meronda di beberapa lokasi tumpuan awam sekitar negeri ini.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata kehadiran anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) dan Jabatan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) di tempat awam khususnya pusat beli belah bertujuan mencegah jenayah supaya masyarakat yakin dengan keselamatan mereka.

"Arahan sudah dikeluarkan kepada semua Ketua Polis Daerah untuk mempertingkatkan rondaan ini.

"Kita mahu orang ramai, pelancong tempatan mahupun asing khususnya dari Singapura menikmati cuti hujung minggu mereka di negeri ini dengan selesa dan selamat terutamanya ketika membeli belah," katanya kepada pemberita pada jamuan hari raya anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata rondaan cegah jenayah terbabit dilakukan setiap hari di kawasan tumpuan awam yang dipilih secara rambang sebelum rondaan ditingkatkan pada cuti hujung minggu.

Usaha itu juga merupakan langkah proaktif Polis Johor sejajar dengan pembangunan pesat negeri ini khususnya di Iskandar Malaysia, katanya sambil berharap orang ramai menerimanya sebagai langkah positif demi menjamin keselamatan negeri ini.

Sementara itu, Wan Ahmad Najmuddin berkata pihaknya turut mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri supaya mengkaji laluan di sekitar kawasan Taman Century, di sini bagi dijadikan laluan sehala selain meningkatkan aspek pencahayaan.

Cadangan itu dikemukakan kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Johor bulan lepas.

"Laluan di kawasan perumahan itu amat sibuk kerana adanya pusat beli-belah dan beberapa hotel selain bercampur dengan kawasan kediaman lama penduduk.

"Terdapat laporan mengenai kejadian ragut di kawasan itu dan kita tidak mahu ia menjejaskan kehadiran pelancong membeli belah dan menginap di hotel berhampiran," katanya.

Menurutnya menteri besar bersetuju dengan cadangan itu dan menyerahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Johor untuk dikemuka kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi kajian selanjutnya.


0 comments:

share2