Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 27, 2016

JANGAN AMBIL TINDAKAN MAHASISWA BEZA PENDAPAT


Jangan ambil tindakan mahasiswa beza pendapat


Kuala Lumpur - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dinasihat tidak mengambil tindakan terhadap mahasiswa yang mempunyai pendapat berbeza dengan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana pendekatan mengongkong tidak lagi relevan pada masa ini kerana umum maklum bahawa mahasiswa penuh dengan idealisme. 

"Kita bagi panduan kepada mahasiswa ini, kerana zaman kerajaan tahu segalanya dan kerajaan sentiasa betul sudah berlalu," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra sempena Persidangan Parlimen Mahasiswa 2016, di sini malam tadi.‎

Parlimen Mahasiswa kini bersidang dua hari bermula hari ini dengan penyertaan sebanyak 210 mahasiswa dari 26 universiti tempatan di seluruh negara, merangkumi institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Ahmad Zahid berkata semua pihak, khususnya kementerian dan agensi kerajaan wajar mengiktiraf kepimpinan mahasiswa, khususnya yang menganggotai Parlimen Mahasiswa.

"Apabila bersidang dengar suara mereka...apabila mereka mengkritik terimalah kritikan mereka. Apabila mereka melontarkan pandangan, dengar pandangan mereka.

"Jika mereka minta dan memohon peruntukan, berikan apa yang mereka mahu," katanya.

Ahmad Zahid berkata kerajaan sememangnya mengamalkan sikap terbuka dalam menerima sebarang pandangan, namun golongan mahasiswa dinasihat melontarkan pandangan secara bertatasulia dan bersifat konstruktif serta mempunyai nilai-nilai intelektual.

Katanya, golongan itu tidak seharusnya mengambil kesempatan di atas sikap keterbukaan kerajaan dengan tindakan memburukkan imej kerajaan dan negara sebaliknya boleh mengambil ruang itu untuk menegur dan mengkritik dengan cara berhemah.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) selaku penganjur utama Parlimen Mahasiswa yang diadakan kali kedua, tahun ini.

Selain diberi peluang berbahas secara berhemah, Parlimen Mahasiswa juga merupakan platform bagi mahasiswa menimba pengalaman dan secara tidak langsung, memberikan peluang mereka memahami proses perbahasan di Parlimen.


0 comments:

share2