Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 27, 2016

ZIARAH KUBUR, WARGA EMAS SETIAP JUMAAT


Ziarah kubur, warga emas setiap Jumaat


Pasir Mas - Sekolah Kebangsaan (SK) Lemal menampilkan kelainan apabila menjadikan program ziarah kubur dan bacaan Yasin setiap hari Jumaat sebagai aktiviti sekolah.

Guru Besarnya, Zakaria Sulaiman berkata, program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada murid mengenai dunia luar.

“Jika sebelum ini mereka hanya didedahkan dengan aktiviti di dalam kawasan sekolah saja. Tetapi untuk program ini guru membawa murid bergaul dengan masyarakat setempat.

“Dengan cara tersebut ia dapat melatih murid bagaimana berhadapan dengan orang sekeliling, selain menekankan ilmu keagamaan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihak sekolah akan memilih tanah perkuburan berhampiran dengan kerjasama komuniti setempat.

Menurutnya, selain kubur pihak sekolah juga menggalakkan murid-murid menziarahi warga emas uzur dan membacakan Yasin kepada mereka.

“Alhamdulillah setakat ini semua program diadakan berjalan lancar dan mendapat sambutan baik murid serta ibu bapa.

“Ibu bapa juga banyak memberikan sokongan dan mendorong anak-anak mereka untuk menjayakan program ini,” katanya.

Zakaria berkata, sebagai guru pihaknya berharap apa yang diajar dapat dijadikan panduan hidup dan amalan kepada mereka sehinggalah dewasa kelak.

Menurutnya, pihak sekolah bukan sahaja mahu melihat murid-murid cemerlang dalam bidang akademik semata-mata tetapi turut menampilkan akhlak yang mulia.

Katanya, diharap apa yang dilakukan oleh SK Lemal itu dapat menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain di negeri ini.


0 comments:

share2