KUALA LUMPUR - Insiden 'tersilap' masuk koc wanita bagi perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) masih berlaku walaupun koc khusus itu telah diperkenalkan sejak kira-kira enam tahun lalu.
Ketua Unit Pelancongan dan Acara KTMB Mohd Noordin Kimi berkata agak sukar untuk difahami jika masih ada golongan lelaki yang tersalah masuk ke koc wanita.
Ini kerana tambah beliau, terdapat banyak tulisan yang dengan jelas tertera bahawa koc tertentu adalah khusus untuk wanita sahaja sepanjang masa.
Tanda-tanda tersebut terdapat pada dinding bahagian luar dan dalam koc, di pintu koc, di petak melangkah ke dalam koc malah di stesen tertentu pula ada ruang (petak) tempat menunggu khusus untuk wanita.
"Selain itu pengumuman bahawa koc tiga dan empat adalah khusus untuk wanita juga dibuat dari semasa ke semasa di stesen-stesen, malah ketika tren dalam perjalanan bagi memastikan tidak berlaku insiden lelaki masuk ke koc tersebut," katanya kepada Bernama.
Bukan itu sahaja, katanya bagi membezakan koc dan kawasan khusus adalah untuk wanita, kesemua tulisan serta pelekat yang digunakan berwarna merah jambu (pink) dan putih bertulis "Wanita sahaja. Ladies only".
Mengakui bahawa kesilapan mungkin boleh berlaku bagi seseorang yang pertama kali atau tergopoh-gapah menaiki komuter, beliau berkata tidak mustahil ada yang dengan sengaja masuk ke koc wanita.
Malah, tambah beliau, pernah berlaku di mana penumpang lelaki terutamanya warga asing masuk ke koc wanita dan "buat tak faham" serta tidak memperdulikan teguran agar berpindah ke koc lain sehinggalah kakitangan KTMB terpaksa campur tangan, barulah mereka beredar.
TERSILAP DAN TERSESAT
Mohd Noordin berkata walaupun pelbagai usaha dibuat untuk memastikan para penumpang selesa ketika menaiki komuter, namun insiden 'tersilap' masuk koc terus berlaku.
Justeru, beliau menasihatkan para penumpang wanita agar memaklumkan kepada mana-mana lelaki sama ada yang sendirian, berpasangan atau bersama-sama keluarga sekiranya mereka 'tersesat' masuk ke koc wanita.
"KTMB juga berharap orang ramai agar lebih prihatin dan para penumpang juga perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing untuk saling menjaga antara satu sama lain walau di mana sahaja berada, termasuklah ketika berada di dalam koc kami.
"Yang penting, kalau ada pelaku yang masuk sebaiknya beritahu lelaki itu atau sesiapa yang bersamanya, kalau degil boleh beritahu kakitangan KTMB atau polis bantuan setibanya di stesen untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurut beliau, selalunya pasangan suami isteri atau keluarga yang terdiri daripada lelaki dan wanita enggan berpindah ke koc lain walaupun sudah tertera bahawa koc itu hanya untuk wanita sahaja.
Tambahnya, KTMB pernah menugaskan polis bantuan di dalam tren namun terpaksa dihentikan kerana kos yang sangat tinggi, namun penumpang tidak perlu risau kerana kakitangan KTMB sentiasa mengadakan pemeriksaan berkala selain menempatkan polis bantuan di stesen-stesen KTMB.
TAMBAH KOC WANITA
Penumpang yang ditemui, Nur Ajeerah Zulkifli, 23, seorang pelajar kolej, mengakui pernah melihat beberapa insiden lelaki masuk ke koc wanita ketika menggunakan perkhidmatan komuter.
"Masalahnya, ramai wanita yang di dalam koc tu hanya saling berpandangan, termasuk yang duduk paling dekat dengan lelaki itu sehinggalah ada wanita lain memberitahunya.
"Tapi, nampaknya lelaki berkenaan benar-benar tersalah masuk koc sebab dia terus bergegas ke koc lain," jelasnya.
Bagaimanapun, Nur Ajeerah percaya jika setelah diberitahu namun si pelaku masih tidak mempedulikannya, nyata 'kesilapan' itu disengajakan.
"Jika berlaku, saya akan segera beritahu lelaki berkenaan untuk berpindah ke koc lain terutamanya jika dia duduk berdekatan. Jika enggan, mungkin boleh minta tolong wanita-wanita lain supaya turut memberitahunya. Logiknya, lelaki itu akan rasa malu jika ramai yang memaklumkan kepadanya (tersalah masuk koc).
"Tapi jika enggan juga, mungkin kita boleh beritahu kakitangan KTMB bertugas atau apabila tiba di stesen," katanya yang sering menggunakan perkhidmatan komuter antara KL Sentral dan Rawang.
Nur Ajeerah bagaimanapun berpendapat, dua koc untuk wanita masih tidak memadai terutamanya pada waktu puncak kerana nyata terlalu ramai wanita yang menggunakan perkhidmatan komuter.
KURANG KESEDARAN SIVIK
Seorang perunding pengambilan tenaga kerja Muhammad Zulhakim Zulkifli, 24, pula berkata sepatutnya tidak berlaku insiden tersalah masuk ke koc wanita kerana terdapat banyak tanda pemberitahuan di stesen dan pada koc.
"Malah sebaik tren berhenti, akan jelas terpampang di dinding luar koc bertulis 'koc untuk wanita sahaja' selain kenyataan serupa pada pintu tren. Jika tidak tahu membaca atau tidak faham bahasa Melayu atau Inggeris, gambar ikon wanita yang terpampang juga sudah cukup menjelaskannya.
"Tapi seandainya benar-benar tersalah masuk, sewajarnya segera minta maaf dan pindah ke koc lain," katanya berpesan agar golongan lelaki sentiasa mempunyai integriti diri.
Beliau yang saban hari menggunakan perkhidmatan komuter untuk berulang alik ke tempat kerja turut melihat masalah lain di kalangan penumpang seperti seringkali berasak-asak untuk masuk ke dalam koc sedangkan mereka sepatutnya menunggu sehingga penumpang keluar dan tidak terburu-buru menaiki tren.
Mengakui selesa menggunakan perkhidmatan komuter, beliau dengan nada agak kesal berkata, umumnya kesedaran sivik di kalangan para penumpang komuter masih kurang.
Muhammad Zulhakim berkata masih ramai yang sama ada tidak sedar atau sengaja tidak mempedulikan lantas membiarkan golongan tua atau wanita mengandung terus berdiri tanpa memberi ruang duduk kepada mereka.
"Lebih teruk, ada yang terus duduk walaupun di belakang kerusi itu tertera khusus untuk golongan yang perlu diberi keutamaan," katanya.
Sementara itu, Mohd Noordin berkata sehingga kini, perkhidmatan komuter bukan sahaja di Lembah Klang malah merangkumi Sektor Tengah dan Sektor Utara.
Laluan bagi Sektor Tengah adalah antara Tanjung Malim dan Pelabuhan Klang serta Batu Caves dan Seremban. Selain itu, laluan lain adalah antara Seremban-Gemas dan Seremban-Tampin.
Sektor Utara pula adalah laluan antara Butterworth dan Kamunting, Perak, Padang Besar, Perlis dan Butterworth serta Gurun, Kedah dan Butterworth.
0 comments:
Post a Comment