Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 20, 2016

PEMBANGKANG TAK MAMPU BENTUK GABUNGAN BAIK




KUALA LUMPUR, - Pihak pembangkang tidak mampu membentuk sebuah gabungan yang lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) kerana perbezaan ideologi antara mereka, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sebaliknya, kata beliau, Barisan Nasional (BN) yang mempunyai 13 parti komponen di bawahnya dapat bekerjasama dengan baik kerana mempunyai hanya satu agenda iaitu berkhidmat untuk rakyat.

"Gabungan BN bercakap mengenai dasar-dasar negara dan hala tuju semasa berbanding pembangkang yang masih tidak mampu pun memutuskan dalam menentukan siapakah ahli gabungan atau pakatan antara mereka," katanya menerusi catatan dalam laman Facebook beliau di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 14 Julai lepas bahawa beliau (Dr Mahathir) akan menubuhkan sebuah parti baharu yang akan menyertai sebuah pakatan pembangkang baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

BN kekal relevan dan terbukti menjadi pilihan rakyat berdasarkan rekod pencapaian dan misi perjuangannya yang jelas dan politik yang bukan sekadar membentuk sebuah parti, tetapi bagaimana parti itu berkhidmat kepada rakyat manakala pembangkang tidak memahami perkara tersebut, kata Azalina.

"Dengan pembentukan kononnnya pakatan baru, Dr Mahathir ni nampaknya dah jadi Ketua Umum yang baru, boleh ke beliau diterima oleh kedua-dua kartel Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), Wan Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) atau Lim Kit Siang?

"Saya pelik dengan pembangkang ni, dah berapa kali bentuk pakatan, dah berapa kali tukar nama tapi sampai sekarang kabinet bayangan pun tiada...tukar nama pakatan dan rakan politik macam tukar baju," katanya.

Azalina berkata sejarah telah membuktikan bahawa penubuhan Parti Melayu Semangat 46 (S46) yang dianggotai bekas anggota dan pemimpin UMNO sebelum ini telah gagal kerana tidak mempunyai hala tuju dan akhirnya mereka kembali menganggotai UMNO.

"Hanya parti Melayu yang dianggotai orang Melayu sahaja boleh berjuang untuk orang Melayu," katanya.

S46 ialah sebuah parti politik serpihan UMNO diasaskan pada tahun 1988 selepas kekalahan Tengku Razaleigh Hamzah menentang Dr Mahathir untuk jawatan Presiden UMNO ketika itu.



0 comments:

share2