Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 20, 2016

PEROLEH PENDAPATAN BUAT ROKOK DAUN




PASIR PUTEH, - Kenaikan harga rokok putih telah memberi peluang kepada petani yang tinggal di pinggir Sungai Semerak di sini untuk menambah pendapatan dengan menjual rokok daun daripada daun nipah.

Masih ramai yang gemar mengisap rokok daun menyebabkan ia sentiasa mendapat permintaan.

Seorang pembuatnya Adam Dollah, 66, berkata beliau memperoleh pendapatan tambahan sekitar RM20 dan RM30 setiap hari dengan menjual rokok daun.

"Saya luangkan masa antara dua hingga tiga jam sehari untuk mencari daun nipah selepas selesai mengerjakan tanaman padi dan dan lada," katanya kepada Bernama di rumahnya di Kampung Bukit Tanah, Kulim.

Beliau berkata beliau memperoleh pendapatan dua kali ganda sejak rokok putih mencecah RM18 sekotak.

Katanya isterinya Che Rashidah Yaakub, 60, turut membantu memproses daun nipah yang dicari dengan mengopek daun nipah, menjemur, memotong dan akhirnya mengikat daun nipah dalam bentuk berkas kecil.

"Selepas daun nipah menjadi kering, ia dipotong pendek dengan ukuran sebatang rokok biasa untuk dijual kepada peraih atau menjualnya di pasar Pasir Puteh, Jerteh serta Besut.

"Kadang-kadang saya tidak dapat memenuhi permintaan rokok daun yang semakin bertambah disebabkan perokok beralih menghisap rokok daun nipah dan tembakau kampung kerana mereka tidak mampu membeli rokok yang semakin mahal," katanya.

Menceritakan kesukaran mencari daun nipah sejak 40 tahun lepas, Adam berkata beliau terpaksa mengharungi air separas pinggang sehingga ke paras dada untuk mencari daun nipah dan kadang-kadang terserempak dengan buaya, ular tedung dan ular sawa.

"Hasil menjual rokok daun dan tanaman lain, saya mampu menyara 10 orang anak termasuk lima yang masih bersekolah," katanya.

0 comments:

share2