Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 19, 2016

NAJIB PEMIMPIN BOLEH DIPERCAYAI UNTUK LAKUKAN PERKARA BETUL




KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak ialah seorang pemimpin yang Malaysia perlukan, terutamanya ketika dunia sedang berdepan dengan ancaman keganasan, kata Pengerusi Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tunku Abdul Aziz Ibrahim.

Beliau berkata perdana menteri merupakan seorang pemimpin yang rakyat boleh percayai dan bergantung untuk melakukan perkara yang betul dalam mana-mana krisis.

Dalam usaha beliau memerangi keganasan, Najib telah mempamerkan ciri kepemimpinan sebenar dan ini mengingatkan rakyat bahawa tiada siapa dapat memimpin tanpa mengambil keputusan sukar demi kebaikan bersama, kata Tunku Abdul Aziz.

"Dengan ISIS mengancam negara kita, rakyat Malaysia yang berfikiran waras sudah mula menyedari bahawa di sini ada seorang perdana menteri yang tidak takut untuk mendahulukan rakyat dan undi mereka diletakkan di tempat kedua.

"Pendek kata, tiada kompromi apabila membabitkan keamanan dan keselamatan negara dan Najib telah, dengan caranya yang berhemah, telah menunjukkan bahawa perkara itu sentiasa menjadi keutamaan dalam pertimbangan beliau," katanya dalam artikel diterbitkan portal yang baru dilancarkan 'Malaysia Outlook'.

Beliau berkata di dalam negara, susulan perbuatan salah guna media sosial oleh individu-individu telah membawa kepada polarisasi perkauman, majoriti senyap perlu menentang perkara itu dan "menambah suara mereka bagi menyokong langkah-langkah dilaksanakan kerajaan yang akan memastikan bahawa kita akan terus hidup dalam aman dan harmoni".

Tunku Abdul Aziz berkata pertimbangan kaum tidak boleh dijadikan faktor dominan tatkala rakyat Malaysia berusaha mencari identiti baharu dan perpaduan kaum perlu kekal menjadi kunci kepada masa depan negara.

"Kita mungkin mempunyai sebuah negara, tetapi kita masih belum mempunyai negara bangsa kerana terlalu banyak daripada kita begitu mudah dipengaruhi kerana etnik memisahkan kita, bukan di luar fitrah bahawa kita patut memilih untuk meneruskan kehidupan kita dalam dunia kita sendiri.

"Masa ini adalah yang terbaik bagi rakyat Malaysia yang patriotik dan cintakan negara ini, tanah tumpah darah mereka untuk berusaha menerokai semula dan mengukuhkan ciri-ciri keMalaysianan mereka, keadaan yang tidak dapat digambarkan tetapi terpahat dalam hati kita," katanya.

0 comments:

share2