Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 21, 2016

IBU PAKSA 2 ANAK MINUM CECAIR PELUNTUR SEBELUM BUNUH DIRI




KOTA SAMARAHAN 20 Julai - Akibat tertekan dengan masalah rumah tangga, seorang wanita hilang pertimbangan dan tergamak memaksa dua anaknya meminum cecair peluntur sehingga mati sebelum dia membunuh diri di rumahnya di Kampung Baru di sini semalam.

Mayat Rohana Mohamad, 37, ditemukan tergantung di bilik mandi manakala dua anak lela­kinya, Adam Hadiman Noorahman, 7, dan Mohd. Ikmal Danish Noorahman, 4, dijumpai dalam bilik tidur pada kira-kira pukul 8 malam.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Lee Chong Chern berkata, sepasukan anggotanya yang menerima laporan daripada penduduk melihat dua kanak-kanak dalam keadaan mencurigakan membuat pemeriksaan di kediaman itu pada pukul 7.55 malam.

Katanya, sebaik sahaja masuk ke rumah itu melalui pintu bahagian atas yang tidak berkunci, polis telah menemukan dua kanak-kanak itu di bilik tidur dalam keadaan mulut kehitaman.

“Pemeriksaan mendapati kanak-kanak berusia tujuh tahun itu sudah tidak bernyawa manakala adiknya berusia empat tahun dalam keadaan kritikal dan segera dibawa ke Hospital Jantung, Kota Samarahan tetapi disahkan meninggal dunia dalam perjalanan.

“Pemeriksaan lanjut di kediaman itu menemukan ibu mangsa yang sudah mati akibat menggantung diri dalam bilik tandas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Chong Chern berkata, hasil siasatan, pihaknya percaya dua adik-beradik malang itu mati akibat dipaksa minum cecair peluntur yang diberikan oleh ibu mereka berdasarkan penemuan botol bahan pencuci berhampiran kanak-kanak terbabit.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati wanita berkenaan tidak bekerja dan tinggal di kediaman itu bersama bapa dan ibu angkatnya.

“Semasa kejadian berlaku, bapa dan ibu angkatnya berada di kebun. Wanita tersebut dikatakan telah ditinggalkan oleh suaminya kira-kira tujuh bulan lalu dan dalam proses untuk bercerai.

“Suaminya berasal dari Saratok dikatakan tidak memberi nafkah yang dipercayai punca menyebabkan wanita itu berasa tertekan sehingga akhirnya nekad membunuh anaknya sebelum menggantung diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner S. Dev Kumar berkata, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tambahnya, mayat tiga beranak itu dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat.




0 comments:

share2