Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 25, 2016

DUIT PTPTN LEBUR GARA-GARA MLM


Trauma


PENIPUAN skim cepat kaya MLM atau Multi Level Marketing bukanlah satu isu baharu di negara ini.

Saban tahun kita disajikan dengan kisah pelbagai golongan baik golongan profesional mahupun pelajar menjadi mangsa penipuan MLM.

Kisah kali ini terjadi kepada rakan penulis sendiri yang akhirnya mengaku diperbodohkan oleh sepupunya sendiri.

Suatu ketika dahulu penulis pernah disapa oleh Linda (bukan nama sebenar) menerusi Facebook.

Linda ini pernah memperkenalkan sistem MLM ini yang dikatakan memberi pulangan keuntungan hampir 500 peratus daripada modal asal.

Bayangkan, sudah bertahun tidak berhubung, tiba-tiba dilamar berita bersulam janji manis!

Tanpa menunggu panjang, penulis cuba menolak secara baik dan meminta diberikan masa untuk berfikir.

Dia akur dan terus tidak ‘bertegur sapa’ lagi di Facebook.

Tahun demi tahun berlalu, kami akhirnya dipertemukan di majlis pertemuan semula yang dianjurkan oleh rakan kami.

Di kesempatan itu, penulis mengambil peluang bertanya, apa sudah jadi dengan projek MLM?

Linda terkulat-kulat seketika sebelum membuka cerita.

Menurutnya, MLM yang diusahakan hanya tinggal separuh jalan.

Dia hanya menyedari penipuan MLM setelah simpanan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) miliknya habis dihulur kepada ‘upline’ yang merupakan sepupunya sendiri.

“Sejak semester pertama, saya sudah mula menyimpan untuk membayar balik pinjaman PTPTN. Saya ada usahakan perniagaan secara atas talian secara kecil-kecilan semata-mata untuk melunaskan hutang PTPTN pada hujung pembelajaran nanti.

“Kemunculan MLM buat saya lupa dan termakan dengan janji-janji manis sepupu. Habis simpanan di kaut keluar semata-mata mahu memperoleh pulangan berlipat kali ganda setiap bulan,” luahnya kepada penulis.

Akui Linda, dia mengeluarkan simpanannya yang berjumlah hampir RM7,000 untuk menyertai skim tersebut.

Bagaimanapun selepas membayar wang pendahuluan, dia mendakwa diminta mengikuti latihan berbayar pada setiap bulan dan mencari ahli di bawah naungannya (downline).

Kata Linda lagi, bukan mudah untuk mencari ‘downline’ seperti yang diminta.

Saban hari dia berusaha untuk mencari rakan dan saudara yang terdekat untuk dijadikan ‘downline’nya.

“Baki duit yang ada dihabiskan ke sana sini untuk mencari downline baru. Saya pergi ke merata-rata tempat untuk berjumpa dan meyakinkan kawan-kawan, semuanya tidak berjaya.

"Akhirnya duit saya lebur begitu sahaja,” katanya lagi.

Serik dengan janji ‘gula-gula’ yang ditabur oleh sepupunya, Linda akhirnya meminta untuk bertemu dengan sepupunya sendiri bagi mendapatkan penjelasan, bagaimanapun dia sebaliknya dimarah dan diherdik oleh sepupunya di hadapan ahli keluarga yang lain.

“Dia (sepupu) kata saya pemalas, tak buat kerja betul-betul, sebab itu saya tidak berjaya. Sepatutnya sebelum dia ajak saya, dia perlu beritahu terlebih dahulu apa yang harus saya lakukan selepas dijadikan ‘downline’.

“Lepas dia dapat duit saya, dia tinggalkan saya terkapai-kapai. Kerana MLM, ahli keluarga sendiri pun sanggup tikam belakang kita, inikan pula orang lain,” katanya yang turut menasihatkan pembaca supaya berhati-hati dengan skim tersebut.


0 comments:

share2