Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 29, 2016

BANTAH CARA PEMILIHAN MALIM GUNUNG


Bantah cara pemilihan malim gunung


Kuala Terengganu - Lapan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan rekreasi membantah tatacara pemilihan malim gunung dan tatacara pelaksanaan sistem malim gunung Chemerong-Berembun-Lasir (CBL) yang dimulakan pada Mac 2016.

Wakil NGO, Nik Mohd Fuad Sepian berkata, sebelum ini pihaknya menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan negeri termasuk kepada Pejabat Perhutanan Negeri Terengganu (PPNT), namun tiada sebarang reaksi pihak terbabit.

"Tujuan bantahan ini dihantar kerana ia bukan sahaja melibatkan barisan kepimpinan kerajaan negeri tetapi turut melibatkan kepentingan rakyat negeri ini kerana ia membabitkan industri pelancongan alam semula jadi di negeri ini.

"Kita juga telah dua kali memohon agar satu perbincangan dapat diadakan antara kumpulan kami dan PPNT berhubung isu ini pada 23 Mac dan 14 Julai lalu, namun tiada sebarang maklum balas diterima," katanya melalui kenyataan yang dibaca pada Sidang Media di Pejabat Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat), di sini, kelmarin.

Beliau berkata, pada asalnya, idea penubuhan sistem malim gunung adalah daripada pihak mereka antaranya bagi mendisiplinkan para pendaki melalui penetapan peraturan yang sepatutnya, namun timbul persoalan sejak 24 Februari lalu apabila kumpulan 'guide' dari NGO tidak dijemput menghadiri sesi pemilihan malim gunung yang dilaksanakan Jabatan Perhutanan Daerah (JPD) pada 25 Februari lalu.

"Seminggu selepas sistem malim gunung dilaksanakan, kami mendapat pelbagai luahan dan rungutan terhadap mutu malim gunung yang dilantik serta birokrasi dan cara pengurusan pihak JPD berhubung tatacara pelaksanaan malim gunung.

"Sebagai kumpulan yang berpengalaman dalam aktiviti rekreasi, khususnya aktiviti mendaki, kami melihat tindakan ini bakal mengundang pelbagai risiko dan persepsi negatif terhadap aktiviti rekreasi di Terengganu kerana tatacara dan pelaksanaannya yang tidak betul," katanya.

Lapan NGO yang telah menyerahkan memorandum bantahan tatacara pemilihan malim gunung pada pada 14 Mac lalu ialah Terengganu Guides And Rescue (Tegar), Kelab Kaki Gunung Sukan Massa Kuala Terengganu (Kagum), Persatuan Rekreasi Daerah Marang (Predma), Terengganu Backpakers, Persatuan Penggerak Rekreasi KT, Kelab Belia Kembara Hulu Terengganu, Kelab Rekreasi Hulu Terengganu dan Advanture Nature Outdoor Club (Anoc).

Sementara itu, Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, seramai 50 individu dipanggil bagi menyertai bengkel itu yang mana melibatkan penduduk tempatan dan orang luar.

“Buat masa ini, seramai lebih 40 mereka yang layak dan sedang menjalani sesi percubaan sehingga September depan. Dalam tempoh itu kita akan kaji dan selidik bagaimana keberkesanan dan penerimaan terhadap mereka.

“Selepas tempoh percubaan itu nanti, kita akan tahu keputusan hasil kajian yang dijalankan jabatan perhutanan terhadap mereka. Tatacara pemilihan malim gunung ini sama dengan tempat-tempat lain di mana kita mengutamakan giliran, bukan orang yang sama sahaja yang akan menjalankan tugas,” katanya.

Katanya, keutamaan diberikan bagi tugas malim gunung adalah kepada penduduk setempat dan mereka telah menjalani pelbagai latihan serta pemeriksaan termasuk dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi memastikan mereka bebas dadah.

“Pemilihan yang dilakukan mengambil kira banyak aspek dan kita latih penduduk setempat kerana ingin memberi peluang kepada mereka. Kini mereka sedang jalani tempoh percubaan dan selepas September nanti kita akan tahu hasilnya.

“Pemilihan malim gunung juga tidak dilakukan dalam skala yang ramai kerana mereka yang mendaki pun bukan selalu dan tidak ramai, jadi, kita harap semua pihak maklum mengenai perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya akan menyemak kembali perkara itu memandangkan beliau baru sahaja ditukarkan dan bertugas bagi mengambil alih tugasan pengarah yang lama yang kini bertugas di Kuala Lumpur pada 15 Julai lalu.

“Saya akan semak kembali perkara ini dan akan teliti kembali apa yang disuarakan memandangkan saya pun masih baharu di sini dan banyak perkara-perkara yang saya perlu teliti dan dapatkan maklumat,” katanya.


0 comments:

share2