Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 21, 2016

PERSONALITI TERKENAL TERIMA ANUGERAH TAK DIIKTIRAF


Idris Haron


Terdapat personaliti terkenal menerima anugerah pingat, bintang atau darjah yang tidak diiktiraf di negeri ini, dan siasatan ke atas perkara itu sedang dijalankan, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Tanpa menyatakan siapa personaliti terlibat, beliau berkata siasatan mendapati individu-individu itu tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang urusan anugerah tersebut dan menyatakan penyesalan menerimanya. 

"Ada antara mereka yang telah memulangkan balik anugerah... bagi mereka yang tiada pengetahuan mengenai perkara ini kita tidak menghukum mereka.

"Bila diberitahu, mereka ambil tindakan pulangkan balik anugerah dan mohon maaf.

"Kita maafkan kerana ketika itu enakmen yang ada tidak dapat menahan penerima hanya pemberi, ini berbeza dengan sekarang," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka di sini, hari ini.

Ketua Menteri membuat kenyataan itu sehubungan dengan pindaan Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) 1981 yang diluluskan oleh Dun itu pada persidangan tersebut. 

Pindaan itu antara lain memperuntuk hukuman denda lebih berat daripada RM1,000 kepada antara RM250,000 dan RM500,000 atau penjara satu hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali terhadap mereka yang menerima, memberi atau menyokong pemberian anugerah tersebut.

"Saya akan cadangkan kepada Yang Dipertua Negeri supaya mereka yang menerima anugerah tidak diiktiraf tidak layak menerima anugerah daripada Tuan Yang Terutama. 

"Mereka yang telah terima (anugerah daripada Yang Dipertua Negeri) saya juga cadangkan ditarik balik," katanya.

Idris berkata, beliau akan turut mencadangkan supaya ditarik balik anugerah mereka yang mendakwa bahawa pingat, bintang atau darjah kebesaran Kerajaan Negeri Melaka boleh dijual-beli.

Katanya, mereka yang ingin memperoleh anugerah tersebut dinasihatkan melalui cara yang betul dengan menyumbang jasa bakti mereka kepada negeri Melaka.


0 comments:

share2