Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 28, 2016

NASIB KELAS AKHIR?


Nasib kelas akhir?


Pelajar lemah atau kurang berprestasi sering dilihat dari segi pencapaian akademik. Oleh itu mana-mana sekolah menilai kemampuan pelajar tersebut melalui ujian saringan yang di awal tahun untuk memudahkan guru untuk memfokuskan golongan sasaran.

Fenomena biasa dilihat kelas akhir selalunya dihuni pelajar yang kurang fokus, dan suka membuat bising. Sebilangan guru terpaksa bersuara nyaring untuk menarik perhatian mereka ketika mengajar. Apabila guru tidak muncul di pintu kelas, mereka seakan-akan berpesta pada masa itu.

Mungkin ada yang beranggapan mereka tidak bernilai di mata pihak sekolah. Mereka dilihat pasif dalam kelas. Rasa rendah diri dan terpinggir pelajar juga wujud. Mereka juga kurang diberi peluang mendapat jawatan di sekolah dan menyertai kegiatan bukan akademik.

Hakikatnya pelajar di kelas akhir mempunyai tahan intelektual yang tinggi sebagaimana mereka yang berada di kelas awal. Cuma bezanya dari segi sikap mereka kurang berkeyakinan, malas, kemurungan, mudah mengalah dan suka melengah-lengahkan kerja sekolah membuatkan diri mereka ketinggalan di belakang.

Jika pelajar tersebut mahu berubah sikap kepada positif dan menanam tekad serta azam untuk capai kecemerlangan, ia tidak boleh dihalang oleh sesiapa untuk berjaya. Bak kata pepatah, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

Sekiranya pelajar tersebut mampu menemui kekuatan diri, pastinya mereka mampu mendahului pelajar di kelas awal. Ditambah dengan sokongan guru yang menaruh keyakinan masa hadapan pelajar tersebut serta ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan kepada anak mereka sepenuhnya sepanjang masa.

Terdapat juga pelajar yang menghadapi masalah kesihatan menyebabkan dia dilihat kurang berprestasi. Contohnya mereka yang lembam, mengalami dyslexia dan autisme. Ibu bapa perlu peka dengan tahap kesihatan anak dengan merujuk kepada pakar untuk mengambil langkah sewajarnya. Mungkin mereka lebih sesuai di dimasukkan kelas pendidikan khas untuk menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran diri.

Antara faktor utama yang mempengaruhi prestasi pelajar seperti latar belakang keluarga. Umumnya ibu bapa yang mengambil berat tentang anak dari segi pendidikan, kesihatan dan agama dan sahsiah diri akan dapat melihat pencapaian anak yang membanggakan di dalam mahupun di luar sekolah.

Ini boleh dilihat dalam perjumpaan ibu bapa mahupun aktiviti mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah. Rata-rata kehadiran ibu bapa pelajar di kelas awal lebih ramai berbanding di kelas akhir. Ini boleh mengundang kekecewaan kalangan guru yang ingin mendapatkan sokongan ibu bapa dalam membantu kecemerlangan anak.

Tidak dinafikan terdapat segelintir ibu bapa tidak boleh menerima ’cerita buruk’ termasuk masalah disiplin anaknya di sekolah. Malah mereka turut mempersalahkan guru yang dikatakan tidak bijak dan bersikap pilih kasih dalam mendidik anak mereka. Sedangkan masalah pergolakan keluarga atau ibu bapa terlalu sibuk juga memberi tekanan kepada pelajar untuk datang ke sekolah.

Apa pun jua keadaan dan alasan, semua pihak memainkan peranan. Pelajar juga perlu sedar bahawa belajar di kelas akhir bukanlah merupakan titik noktah kehidupan. Ini terbukti apabila mereka yang dahulunya kurang menyerlah di sekolah tetapi berjaya mencipta nama di mata dunia.

Kes 1

Haris Ali, 7, (bukan nama sebenar) melihat kosong pada kertas ujian. Pensil di tangan hanya dipegang. Mindanya ligat memikir soalan matematik mudah yang perlu dijawab.

Rakan di sekeliling seolah-olah tekun menjawab di setiap muka surat kertas soalan tersebut.

Fikiran Haris menerawang. Angka-angka di hadapan matanya seperti menari-nari. Dia tak tahu apa yang hendak ditulis. Mana mungkin dia boleh menjawab sedangkan membaca pun tidak mampu. Hasil ujian saringan kemasukan kelas telah menempatkan Haris di kelas akhir.

Selepas tiga bulan berada di kelas tersebut dan mengikuti program Linus, Haris telah menunjukkan minat membaca, menulis dan mengira setelah mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru yang berdedikasi.

Kes 2

Hari persekolahan bagi Arman Husin, 14, (bukan nama sebenar) adalah sesuatu yang membosankan. Sayup-sayup kedengaran bunyi jam loceng sekolah menandakan sudah masuk ke kelas. Dengan berpakaian sekolah yang kurang rapi dan beg sandang ringan di bahu, Arman berjalan lesu melangkah. Hanya ‘lubang’ pagar yang memboloskan diri masuk ke sekolah tanpa diterjah pengawas.

Jika ikutkan hati, tidur lagi baik daripada diseranah guru di sekolah kerana kerja sekolah yang menimbun tidak terlunas. Tapi di rumah, seperti sesak nafas melihat ruang kecil yang dihuni ramai ahli keluarganya. Pergaduhan ibu bapa dek masalah kewangan menyebabkan fikiran Arman jadi serabut.

Selepas melalui sesi kaunseling di sekolah, Arman semakin jelas matlamat hidupnya. Dia masih ada peluang untuk mengejar semula pelajaran yang selama ini diabaikan. Dengan bimbingan guru kaunseling dan guru kelas, Arman tekad untuk keluar dari kemelut kemiskinan keluarga dengan memperbaiki diri dalam bidang akademi dan sahsiah diri.


1 comments:

  • Anonymous says:
    June 28, 2016 at 10:22 PM

    Post2 yg mcm ni dialu2kan. Lebih byk info bgaimana utk mendidik dgn betul sangat mdatangkan faedah kod ibu bapa dan pelajar. Wujudnya kelas linus dan kauseling adalah kaedah terbaik urk pelajar lemah dn tiada minat belajar. Semoga semua sekolah bukan hye mnumpukan kpd pelajar cerdik tpi yg juga lemah.

share2