Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 16, 2016

[MARAN] MUIP AGIH RM20J BANTU ASNAF


Muip


Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang (MUIP) memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi membantu 25,000 orang daripada lapan golongan dikategorikan asnaf di negeri Pahang tahun ini.

Tengku Mahkota Pahang juga Yang Dipertua MUIP, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah peruntukan itu adalah sebahagian daripada kutipan zakat sebanyak RM106 juta yang terkumpul sepanjang tahun 2015.

"MUIP prihatin dan komited membantu lapan golongan asnaf seperti fakir, miskin, dan mualaf dengan menyalurkan semula kutipan wang zakat kepada golongan yang memerlukan agar mereka sentiasa berasa dihargai. 

"Pada masa sama, MUIP tidak mengabaikan tanggungjawab membantu generasi baharu ke menara gading di samping bantuan kepada sekolah pondok, tadika pintar al-Quran dan sekolah agama rakyat," titahnya.

Tengku Abdullah bertitah pada majlis berbuka puasa dan pengurniaan sumbangan kepada 200 asnaf di perkarangan Masjid Kampung Sekara Chenor semalam dengan turut ditemani oleh Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar. 

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib merangkap Anggota Parlimen Maran, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Negeri Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Anggota Dewan Undangan Negeri Chenor Datuk Mohamad Ariffin Awang Ismail. 

Baginda menegaskan agihan itu adalah antara hasil daripada kutipan zakat daripada rakyat di negeri ini yang disalur semula kepada golongan memerlukan.

"Kejayaan MUIP mencatatkan kutipan zakat melebihi RM100 juta mulai tahun 2012 hingga mencatat RM106 juta tahun 2015 adalah kesan penerangan kewajipan berzakat kepada umat Islam," titah baginda.

Menurut Tengku Abdullah, MUIP selain itu turut menerima peruntukan tahunan sebanyak RM30 juta daripada kerajaan bagi pengurusan dan pentadbiran serta program dan aktiviti dakwah Islamiah di negeri ini.


0 comments:

share2