Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 22, 2016

[LIPIS] BANTU ASNAF BUAT PERSIAPAN RAYA


Bantu asnaf buat persiapan raya


Lembaga Tabung Haji (TH) menyalurkan zakat berjumlah RM125,000 kepada 250 asnaf di negeri ini sebagai membantu meringankan beban komuniti setempat.

Pengarah TH Pahang, Musalimah Mustaffa berkata, sumbangan wang tunai sebanyak M500 seorang itu merupakan kesinambungan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu Program Ehsan TH yang mula dilaksanakan pada 2013.

“Program dilaksanakan sempena Ramadan ini bertujuan bantu asnaf buat persiapan sambut Aidilfitri.

“Paling tidak pun kita dapat gembirakan hati dan selami kehidupan dan permasalahan mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sumbangan Program Ehsan TH di Dewan Orang Ramai Bukit Betong di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Agama Daerah Lipis, Abu Bakar Ismail dan Ketua Kampung Bukit Betong, Badra Isa Abdul Hamid.

Musalimah berkata, TH juga memperuntukkan sebanyak RM2.2 juta bagi menyalurkan sumbangan kepada 4,410 golongan asnaf terpilih di seluruh negara pada tahun ini.

Katanya, warga emas, ibu dan bapa tunggal serta OKU merupakan penerima sumbangan program itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, TH sentiasa memberi perhatian dalam membantu masyarakat Islam khususnya golongan memerlukan.

“Pelbagai program CSR dilaksanakan sebagai contoh program Baiti bagi menambah baik rumah dan program Iqrak bagi membantu pelajar sekolah kurang berkemampuan.

“Antara CSR paling besar dilaksanakan oleh TH ialah subsidi haji yang merekodkan jumlah kira-kira RM126 juta pada tahun lalu dan dijangka meningkat kepada RM160 juta pada tahun ini,” katanya.


0 comments:

share2