Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 22, 2016

TPM SERU UMAT ISLAM BERSATU DEMI AGAMA


Zahid Hamidi


Bagan Datoh - "Kalau ditakdirkan saya sakit sekali pun, papahlah saya untuk datang ke majlis ini asalkan saya tidak nazak supaya semangat saya bersama tuan puan.

Itu semangat yang dilaungkan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi penduduk Bagan Datoh ketika merasmikan Majlis Penutup Khataman Tadarus Al-Quran Perdana, Kawasan Parlimen Bagan Datoh, hari ini.

Ahmad Zahid turut berkata, ia merupakan janji beliau untuk hadir ke Tadarus Al-Quran yang diadakan di kawasan parlimennya setiap tahun sejak lebih 21 tahun diadakan.

"Semangat saya sentiasa bersama tuan puan, semangat tuan puan sentiasa bersama saya, kita majukan Bagan Datoh dengan menyatukan ummah di kawasan ini.

"Mudah-mudahan semangat ini kita dapat terjemahkan dengan membentuk generasi kita dari kanak-kanak tadika lagi yang turut sama bertadarus hari ini," katanya.

Ahmad Zahid juga menyeru semua umat Islam di Bagan Datoh khususnya dan negara ini amnya supaya terus berpegang dengan ajaran Al-Quran walaupun berbeza pandangan.

"Alhamdulillah, perpaduan Ummah di negara kita semakin bertambah baik, tidak ada perbedaan Mazhab dan walaupun terdapat sedikit perbezaan pendapat namun ia dapat di atasi dengan akhlak yang kita ada.

"Jadikanlah Al-Quran sebagai landasan untuk memberi pandangan walaupun terdapat perbezaan pendapat janganlah kita lari dari Al-Quran," katanya.

Tambahnya, walaupun terdapat perbezaan dalam pegangan politik, tetapi demi Islam, bangsa dan negara kita semua perlu ketepikan ia.

"Kita mempunyai matlamat sama dalam menggerakkan agama yang syumul bagi menjadikan Malaysia sebuah negara makmur dan mendapat keampunan ALLAH SWT," katanya.

Sementara itu, seramai 1,245 orang penduduk Bagan Datoh terdiri daripada pelbagai latar belakang politik hadir bagi menjayakan Khatam Tadarus Al-Quran Perdana, kawasan Parlimen Bagan Datoh.

Program yang bermula jam 8.30 pagi itu turut melibatkan kanak-kanak dari Tadika Kemas bersama-sama membaca ayat suci Al-Quran di Wisma Umno Bagan Datoh.


0 comments:

share2