Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 28, 2016

‘KAMI DAH TAK FIKIR LAGI RAYA'


‘Kami dah tak fikir lagi fasal raya’


Batu Pahat – "Kami sekeluarga sudah tidak lagi memikirkan menyambut raya, ia berikutan hampir keseluruhan rumah dan juga kelengkapan kami untuk menyambut hari lebaran musnah sama sekali," kata Nora Samin, 51.

Nora tiga beranak bersama suami, Mad Yasin Mohamad Esa, 60 dan anaknya Nur Aini Mad Yassin, 8, merupakan mangsa kejadian kebakaran yang berlaku kelmarin, di Bandar Putera Indah, Tongkang Pechah, di sini.

Menurut Nora, kini dia dan keluarga tidak mempunyai tempat tinggal lagi, dan dalam masa sama berkemungkinan akan menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri minggu hadapan di rumah yang lebih separuh terbakar itu.

Katanya, rumah batu dua tingkat miliknya itu mengalami 70 peratus kemusnahan, terutamanya di bahagian dapur dan ruang tamu, selain beberapa barangan seperti perabot dan barangan elektrik hangus.

"Ketika kejadian pada jam 3 petang itu, kami sekeluarga pergi ke bazar Ramadan berhampiran dan menerima perkhabaran berkenaan melalui jiran yang menghubungi kami melalui telefon.

"Saya bersiap-siap untuk membuka gerai di bazar, terus bergegas pulang melihat kejadian sebenar. Sebaik tiba saya lihat api marak dari dalam rumah.

"Ketika itu saya bingung tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya memerhatikan sahaja jiran-jiran berusaha memadam api," katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya lagi, jirannya terpaksa memecah pintu rumahnya untuk menyelamatkan beberapa barangan, selain berusaha memadam kebakaran sebelum bomba tiba.

"Saya dapati kebanyakan barangan musnah. Saya dan suami sudah tidak memikirkan lagi persiapan menyambut raya. Kami reda menerima musibah ini dan menganggap setiap kejadian berlaku itu pasti ada hikmahnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Timah Sari, Ayob Majid berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.15 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.

"Dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian bersama sembilan anggota. Api berjaya dikawal kira-kira 10 minit dan operasi tamat jam 3.45 petang. Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Kejadian itu turut mendapat perhatian Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Sri Gading, diketuai Mohd Lassim Burhan dan juga Pasaraya Econsave.

Menurut Mohd Lassim, pihaknya melalui Biro Aduan dan Komuniti melalui pengerusinya, Wahyu Hidayat Jaafar menyalurkan bantuan berupa wang tunai dan barangan keperluan harian untuk meringankan beban.

Pasaraya Econsave pula memberikan baucar RM1,000 untuk keluarga Nora membeli barangan keperluan dan juga persiapan Hari Raya Aidilfitri.


0 comments:

share2