Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 23, 2016

KAKAK SANGGUP BERKORBAN DEMI ADIK


Kakak sanggup berkorban demi adik


Kuala Krai - Rasa kasih dan sayang mendorong seorang wanita berkorban demi menjaga adiknya yang terlantar di rumah keluarganya di Kampung Chenulang, dekat sini, akibat komplikasi pembedahan leher hampir setahun lalu.

Sharifah Rosidah Syed Noh, 42, sanggup tidak berpindah ke rumah baharunya untuk bersama-sama ibunya, Pah Munah Syed Kuning, 61, dan neneknya, Tuan Zaharah Syed Idrus, 92, menjaga adiknya, Sharifah Nur Idayu, 35.

Menceritakan kembali saat Sharifah Nur Idayu menjalani pembedahan, Sharifah Rosidah berkata, mereka sekeluarga dimaklumkan saluran pernafasan adiknya itu sempit dan dinasihatkan agar menjalani pembedahan.

"Adik sedang mengandungkan anak sulung ketika itu dan dia beritahu saya mahu jalani pembedahan demi anak dalam kandungannya itu, tambahan pula, dia tidak dikurniakan cahaya mata pada perkahwinannya sebelum ini.

"Adik cakap dia bakal jalani pembedahan kecil sahaja dan tidak akan beri kesan kepada kandungannya. Saya berasa lega dengan penjelasannya pada ketika itu," katanya.

Menyambung ceritanya, Sharifah Rosidah memberitahu, pada hari pembedahan, Sharifah Nur Idayu telah ke Hospital Kuala Krai bersama suaminya.

Katanya, suami adiknya itu kemudiannya memaklumkan pihak keluarga mengenai keadaan adiknya yang tidak sedarkan diri dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, untuk rawatan lanjut.

"Pembedahan dilakukan semasa kandungan adik saya berusia lapan bulan kerana bimbang berlaku jangkitan kuman pada bayi. Alhamdulillah anaknya selamat.

"Selepas beberapa bulan adik dibawa balik ke rumah dan sejak itu dia hanya minum susu serta perlu memakai lampin pakai buang. Adik turut terima bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), digunakan untuk beli barangan berkaitan," katanya.

Katanya, harga setin susu untuk keperluan adiknya adalah RM70 dan ia hanya cukup untuk empat hari, namun dia bersyukur kerana baru-baru ini pihak hospital menghulurkan bantuan susu serta sumbangan lain kepada adiknya yang disampaikan oleh Pengarah Hospital Kuala Krai, Dr Mohd Salleh Mat Jusoh.

Dalam pada itu, Sharifah Rosidah berkata, kini urusan tukar lampin pakai buang dan urusan harian adiknya menjadi tugasnya dengan dibantu ibu mereka dan selain menjaga Sharifah Nur Idayu, dia turut menguruskan anak saudaranya, Siti Hajar Nur Ain Mazlan, 10 bulan.

Orang ramai yang berhasrat membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Agro Bank milik Sharifah Rosidah, bernombor 2-00-6701-00031100-3.


0 comments:

share2