Ibadah adalah perkataan bahasa Arab yang kita gunakan di dalam pertuturan seharian kita.
Ia adalah sebagai bukti kehambaan kita kepada ALLAH. Hakikatnya kita wajib menghambakan diri kita kepada ALLAH sepanjang masa dan dalam semua aspek kehidupan kita. Firman ALLAH SWT: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (surah al zariyat 56).
Tiada pengecualian sedikit pun dalam hal ini daripada kita mengabdikan diri, mematuhi segala peraturan dan hukum-hakam yang ditetapkan oleh ALLAH SWT.
Namun atas faktor pembelajaran dan faktor-faktor lain, ulama membahagikan ibadah itu kepada ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat, haji; dan ibadah umum iaitu sekalian aspek kehidupan yang lain.
Ada beberapa pola pemikiran perlu untuk diluruskan yang sedang berlaku di dalam masyarakat Islam di negara ini iaitu hanya menganggap ibadah itu tertumpu kepada ibadah khusus sahaja dan membiarkan aspek kehidupan lain seolah-olah tiada kaitan dengan hukum hakam dan peraturan ALLAH SWT.
Antara kesan aliran pemikiran begini kita lihat seruan untuk mengembalikan masyarakat kepada peraturan ALLAH sering dilagalagakan dengan perjuangan hak asasi manusia. Sepatutnya suarasuara yang mendesak supaya seluruh aspek kehidupan ini diselaraskan dengan ajaran Islam lebih kerap didengari masyarakat.
Penerangan sistem dan peraturan hidup Islam yang selamanya tidak akan berlaga dengan hak asasi manusia perlu diteruskan dan digiatkan lagi dari semasa ke semasa. Yakinkan kepada orang bukan Islam yang majoriti mereka masih mahukan kehidupan
aman damai di negara ini bahawa sistem dan peraturan hidup Islam tidak pernah menzalimi orangorang bukan Islam.
Sistem kewangan dan perbankan Islam di negara ini adalah contoh terbaik setakat ini yang menjelaskan bahawa sistem Islam boleh diterima oleh orang bukan Islam tanpa paksaan kecuali ada golongan yang memang dari asalnya membenci apa juga yang dibawa oleh Islam.
Antara pola pemikiran lain yang perlu diluruskan ialah mengutamakan format ibadat dari mencapai matlamat ibadah itu.
Kedua-dua perkara ini penting. Matlamat berpuasa sangat jelas seperti termaktub di dalam al-Quran dalam ayat 183 surah al Baqarah iaitu mencapai darjat takwa. Membentengi diri dari kemurkaan dan neraka ALLAH dengan menjunjung semua perintah ALLAH dan menjauhi larangan ALLAH.
Untuk mencapai sehingga darjat takwa, kita sebagai hamba hendaklah melalui proses latihan yang dikenali sebagai ibadah.
Manakala semua ibadah ini ada format-format tertentu yang mungkin dipanggil rukun, syarah sah, syarat wajib, perkara-perkara yang membatalkannya, perkara yang sunat dilakukan dan sebagainya seperti termaktub perbahasannya di dalam kitab-kitab feqh termasuklah ibadah puasa di dalam bulan Ramadan.
Apabila kita perhatikan apa yang dilakukan oleh umat Islam hari ini, ramai juga keliru, contohnya di dalam mengerjakan ibadah puasa.
Ada orang yang berpuasa dengan menjaga 'format' puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari namun ia tidak solat! Matlamat puasa adalah mencapai takwa.
Antara terjemahan takwa yang paling unggul adalah taat mengerjakan apa juga yang diperintahkan ALLAH serta tidak membeza-bezakan segala perintah ALLAH. Ada antara kita yang berpuasa mampu menjaga format puasa dengan 'menutup' kehendak nafsu makan minum dan seks tetapi gagal menutup aurat sedangkan menutup aurat adalah salah satu pembuktian kesungguhan untuk mencapai darjat takwa.
Ibadah solat sunat tarawih hanya berlaku di dalam bulan Ramadan, maka kesempatan mengerjakan 'format' bersolat tarawih secara berjemaah ketika malam-malam bulan Ramadan namun masih ada yang meremehkan solat Subuh berjemaah bahkan masih ada yang meremehkan solat itu sendiri.
Ada dalam kalangan kita yang menyahut galakkan memberi makan berbuka puasa kepada orang yang berpuasa kerana ganjaran yang besar. Ia adalah salah satu 'format' ibadah yang istimewa namun jika tidak diurus dengan baik ia bertukar menjadi saudara-saudara kepada musuh takwa itu sendiri.
Kesimpulannya kita wajib melihat Islam secara menyeluruh supaya format ibadah yang ada dapat menyampaikan kita kepada matlamat sebenar ibadah itu. Kegagalan kita memahami matlamat ini menyebabkan ibadat kita lebih nampak kering berhubungan dengan ALLAH SWT.
0 comments:
Post a Comment