Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 27, 2016

[BERA] KERJA RUMIT TAPI BERBALOI


Kerja rumit tapi berbaloi


Meskipun kerja menyelenggara sarang lebah kelulut rumit, tetapi ia berbaloi kerana bukan sahaja memberikan hasil pendapatan yang lumayan malah satu kepuasan buat pengusaha dan penggemar madu.

Projek madu kelulut yang diusahakan secara berkelompok itu baru sahaja bermula awal Januari lalu, tetapi sudah mempunyai pasaran membabitkan penjualan madu dan sarang lebah.

Peserta, Azman Shah Musa, 34, berkata, pada permulaan mereka menternak lebah untuk menghasilkan madu, tetapi kini mereka turut melakukan kerja sampingan iaitu menyelenggara sarang lebah sama ada yang baharu diperoleh atau yang sudah rosak.

“Kebanyakan peserta adalah penggemar madu, jadi tiada masalah bagi mereka untuk menguruskan projek ini. Selalunya, mereka akan datang ke kawasan projek pada waktu pagi untuk melihat atau memantau sarang sedia ada bagi memastikan ia dalam keadaan baik.

“Bagi proses penyelenggaraan sarang lebah, kami akan bersama-sama memberikan idea supaya sarang dalam batang pokok tidak terjejas,” katanya kepada Sinar Harian.

Satu sarang lebah RM300

Menurutnya, sekarang mereka sudah menerima tempahan untuk mendapatkan kira-kira 60 sarang lebah kelulut, dan tugas itu diserahkan kepada pemburu sarang yang mahir.

Katanya, pemburu sarang akan masuk hutan dan mengambil masa antara satu hingga 15 hari untuk mendapatkan satu sarang.

“Bergantung pada nasib sebab nak cari sarang lebah, pemburu kena perhatikan di mana lebah kelulut berterbangan dan mencari pokok yang berpotensi sebagai sarang sebelum memotong pokok tersebut.

“Kalau harga pasaran sarang sahaja, boleh mencecah sehingga RM300 bergantung kepada kualiti. Itu belum termasuk kos operasi dan perkhidmatan kerana mungkin ada yang berminat untuk menambah aksesori pada sarang untuk dijadikan landskap,” katanya.

Difahamkan, peserta berkelompok berkenaan mendapat bimbingan daripada Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian (Mardi) selain sering bertukar pandangan dengan projek penternakan lebah kelulut di beberapa kawasan sekitar negeri ini.

Mohd Sobri Mohd Zin, 34, pula berkata, pada masa ini, mereka menternak empat jenis kelulut iaitu dari jenis itama, apicalis, terminator dan bighami yang masing-masing menghasilkan rasa madu berbeza.

Menurutnya, bagi yang mahir dengan madu kelulut, mereka akan tahu menilai dari segi rasa madu itu kerana ada yang sedikit masam, manis dan kurang manis malah kepekatan madu itu juga menunjukkan perbezaan.

“Ada di antara lebah yang terlalu aktif sehinggakan apabila hinggap pada objek ia akan menggigit tetapi tidak menyengat. Jadi, ia tidak membahayakan sekiranya ada yang datang mendekati sarang-sarang ini untuk tujuan lawatan.

“Kami mengalu-alukan mereka yang berminat mempelajari teknik penternakan lebah kelulut. Boleh datang ke tapak projek kami untuk melihat sendiri perbezaan setiap lebah dan cara penyelenggaraan yang dilakukan,” katanya.

Janji pulangan lumayan

Manakala, Nor Azman Md Noh, 48, berkata, harga pasaran madu kelulut sangat tinggi kerana khasiat yang terdapat dalam madu itu menyebabkan orang ramai mencari produk madu asli, dan bagi harga madu mengikut sekilogram mencecah RM350 manakala bagi sukatan satu liter boleh mencecah sehingga RM600.

Menurutnya, walaupun kerja untuk mendapatkan madu dari sarang sangat rumit terutamanya bukan pada musim bunga, namun ia berbaloi dan peserta seronok melakukannya.

“Selalunya, kalau musim bunga, banyak madu yang dihasilkan dan kami menggunakan alat khas untuk menyedut madu. Tapi, sekarang ini bukan musim bunga dan madu pula tidak banyak, jadi kami kena guna picagari dan melakukannya secara manual.

“Memang nampak sangat rumit, leceh dan lambat tetapi bagi kami ia menyeronokkan kerana secara tidak langsung kami dapat melihat perkembangan sarang lebah kelulut yang telah siap diubahsuai, atau sarang pada pokok yang baharu diperoleh,” katanya.


0 comments:

share2