Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, May 21, 2016

TUKANG KEBUN DIPENJARA KERANA ROGOL PELAJAR


mahkamah


Kuala Lumpur - Hakim Mahkamah Sesyen di sini, menjatuhi hukuman penjara 14 tahun terhadap seorang tukang kebun sekolah warga Pakistan kerana merogol seorang pelajar perempuan Orang Kurang Upaya (OKU), menasihati pihak sekolah supaya menapis pengambilan pekerja terutamanya warga asing bagi mengelak kejadian rogol.

Datin M.Kunasundary berkata, pihak sekolah juga perlu bertindak segera memaklumkan kepada keluarga mangsa mengenai perkara yang meragukan jika mengesannya di peringkat awal.

"Kesalahan rogol adalah satu kesalahan serius, tambahan pula apabila ia melibatkan mangsa yang digelar sebagai Orang Kurang Upaya dan kejadian berlaku di sekolah, tempat yang sepatutnya selamat bagi setiap pelajar," katanya.

Beliau berkata, mahkamah memikul tanggungjawab besar untuk memastikan pesalah dihukum dengan hukuman setimpal bagi mencegah tertuduh dan orang yang ingin mengambil kesempatan dan mengeksploitasi pelajar istimewa.

Hakim itu menjatuhi hukuman penjara 14 tahun dan lima sebatan terhadap Umar Zeb, 24, selepas didapati bersalah merogol seorang pelajar perempuan lembam berusia 14 tahun.

Kunasundary memerintahkan Umar menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 Ogos 2015.

Beliau membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dan setelah mendengar keterangan daripada 11 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh.

Kunasundary juga berkata, pembelaan tertuduh hanyalah bersifat penafian semata-mata.

Umar didakwa merogol mangsa, yang merupakan pelajar pendidikan khas, di dalam bilik transit sebuah sekolah menengah di antara 3 hingga 4 petang pada Ogos 2015 mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi memohon hukuman berat dengan mengambil kira tindakan tertuduh yang mengambil kesempatan terhadap pelajar sekolah.

"Tertuduh berani melakukan perkara terkutuk itu sedangkan dia datang ke negara ini untuk bekerja," katanya.

Peguam Anis Syazween Mohd Zawawi, yang mewakili, Umar memohon hukuman ringan atas alasan tidak berlaku kekerasan terhadap mangsa.


0 comments:

share2